LONDON: British Broadcasting Corporation (BBC) sekali lagi menjadi sasaran kritikan orang ramai susulan pendedahan terbaharu dalam sebuah buku mengenai temu bual kontroversi Puteri Diana yang disiarkan 30 tahun lalu.
Pada 20 November 1995, seramai 22.8 juta penonton menyaksikan temu bual sensasi itu, di mana Puteri Diana buat pertama kali mengakui kecurangan serta menyatakan terdapat tiga orang dalam perkahwinannya, merujuk kepada dirinya, Charles dan kekasih lama Charles, Camilla Parker Bowles.
Temu bual tersebut pada mulanya dianggap kejayaan besar buat wartawan Martin Bashir dan BBC, namun kemudian tercalar selepas terbukti beliau memalsukan beberapa dokumen bagi mendapatkan kepercayaan Diana.
Buku terbaharu bertajuk “Dianarama: The Betrayal of Princess Diana” hasil karya bekas wartawan BBC, Andy Webb, diterbitkan di Britain pada Khamis.
Penerbit Penguin Books menyatakan buku itu membongkar hakikat sebenar penipuan yang menjerat Puteri Diana serta usaha menutupinya.
Menurut buku tersebut, Bashir telah menunjukkan penyata bank palsu kepada abang Diana, Charles Spencer, bagi meyakinkan terdapat individu terdekatnya sedang memata-matai beliau.
Webb memberitahu program Good Morning Britain di saluran ITV di mana Bashir turut meyakinkan Diana kononnya nyawa beliau dalam bahaya.
Walaupun taktik licik itu hanya terbongkar bertahun-tahun kemudian, Webb mendedahkan BBC sebenarnya sudah mengetahui Bashir melakukan tiga kesalahan besar hanya empat bulan selepas temu bual itu disiarkan, iaitu memalsukan dokumen, menunjukkannya kepada Spencer, dan kemudian berbohong mengenainya apabila dipersoalkan.
Penerbitan buku itu juga berlaku selepas Ketua Pengarah BBC mengumumkan peletakan jawatan berikutan kontroversi berasingan mengenai suntingan mengelirukan dalam sebuah dokumentari tentang Donald Trump.
BBC sebelum ini membayar pampasan kepada bekas setiausaha peribadi Diana, Patrick Jephson, serta seorang pereka grafik yang membongkar kaedah tidak beretika Bashir.
Menurut Webb, Charles Spencer mengaitkan insiden temu bual tersebut dengan kematian adiknya kurang dua tahun selepas ia disiarkan.
Bashir kemudian memohon maaf atas tindakannya, namun bertegas ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan peribadi Puteri Diana untuk tampil dalam temu bual itu.
Satu laporan bebas yang diterbitkan pada 2021 mendedahkan sepenuhnya taktik penipuan Bashir.
Jurucakap BBC menyatakan pihaknya menerima laporan tersebut sepenuhnya dan telah memohon maaf secara terbuka. -AGENSI










