PETALING JAYA: Tiada sebarang usaha untuk menutup skandal pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebaliknya isu besar itu perlu disiasat dan ditangani mengikut prosedur yang ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan telah dibawa ke mesyuarat Kabinet dan diputuskan bahawa tiada pihak wajar dilindungi dalam isu tersebut.
Katanya, kerajaan tidak mempersoalkan kredibiliti Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan menyokong pendirian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menekankan kepentingan mematuhi prosedur sewajarnya.
“Teruskan dan siasat. Itu arahannya. Tetapi prosesnya mesti berjalan. Kita tidak membuat keputusan bertindak semata-mata berdasarkan gesaan FIFA.
“Kita langsung tidak mempersoalkan kredibiliti FIFA. Pendirian Hannah adalah tepat. Biarkan FAM diberi ruang untuk mempertahankan diri terlebih dahulu. Di peringkat kementerian, tindakan mesti jelas, mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya kepada media Malaysia dalam perjalanan ke Afrika Selatan selepas menamatkan lawatan rasmi di Addis Ababa, Ethiopia.
Perdana Menteri berkata, antara persoalan utama yang perlu diteliti adalah sama ada dokumen berkaitan pemain terbabit melalui proses pengesahan yang betul di luar negara.
“Soalan penting ialah sama ada proses dokumentasi di Sepanyol dilaksanakan sebelum kelulusan diberikan. Namun perkara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Anwar mengakui wujud rasa tidak sabar dalam kalangan orang ramai, tetapi semua pihak perlu menghormati prosedur yang ditetapkan.
“Ia di luar kawalan kita. Kita mesti benarkan FAM mempertahankan diri dan membiarkan proses berjalan,” katanya.
Mengulas tindakan tegas akan diambil jika FAM didapati bersalah, Anwar berkata, keputusan Kabinet sudah jelas, tetapi proses tidak boleh didahului.
“Ya, tindakan tegas mesti diambil. Kabinet telah membincangkannya, tetapi kita mesti melalui proses yang ditetapkan. Ini keputusan besar bagi FAM,” katanya.
Perdana Menteri berkata, terdapat kepentingan untuk membangunkan bakat tempatan secara berterusan walaupun proses itu memerlukan masa.
Pada 3 November lalu, FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit serta mengekalkan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA.
Susulan itu, FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,500 dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. – UTUSAN










