PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak tegas apabila memecat Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebagai ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu berkuat kuasa serta-merta.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu diambil selepas PFA gagal menyelesaikan kemelut dalaman meskipun diberi tempoh enam bulan untuk berbuat demikian.
“FAM hari ini membuat keputusan untuk menamatkan keahlian PFA sebagai ahli gabungan serta-merta selepas mereka gagal mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Keempat Exco FAM bagi penggal 2025-2029, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff menjelaskan tindakan itu tidak akan menjejaskan pasukan dari Perlis yang beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro kerana penyertaan mereka bukan di bawah kelulusan PFA.
“Sejak 2019 lagi, PFA sudah digantung. Jadi dari segi penyertaan pasukan, ia tidak terkesan dengan keputusan ini,” katanya.
Untuk rekod, PFA sebelum ini digantung pada Disember lalu kerana gagal melunaskan tunggakan gaji dan pampasan berjumlah lebih RM998,000 kepada bekas pengarah bola sepak, Matt Holland seperti diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).-UTUSAN