MADRID: Kylian Mbappe muncul wira apabila meledak dua gol menerusi sepakan penalti untuk membantu Real Madrid bangkit menewaskan Marseille 2-1 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Marseille mengejutkan tuan rumah apabila Timothy Weah menjaringkan gol pertama sebelum Mbappe menyamakan kedudukan, manakala Dani Carvajal dibuang padang selepas bertelagah dengan penjaga gol lawan, Geronimo Rulli.
Gol kemenangan hadir pada minit akhir apabila Facundo Medina dihukum kerana bola terkena tangan, sekali gus memberi peluang kepada Mbappe menyempurnakan penalti keduanya.
“Bagi saya ia memang penalti, tetapi saya faham jika ada yang tidak setuju kerana semua orang keliru dengan peraturan ini.
“Mereka kata ia penalti, saya cuma ambil dan jaringkan… itu sahaja,” kata Mbappe.
Bos Real, Xabi Alonso pula berdepan cabaran getir pada aksi Eropah sulungnya selepas kehilangan Trent Alexander-Arnold akibat kecederaan awal permainan, selain terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Bagaimanapun, kemenangan ini mengekalkan rekod 100 peratus Los Blancos musim ini dengan lima kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Alonso menyifatkan Mbappe sedang berada pada prestasi terbaik sambil menegaskan beliau gembira dapat bekerjasama dengan penyerang sensasi Perancis itu. – AGENSI