PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar hanya perlukan dua minit untuk melakar kemenangan sensasi ke atas petarung Maghribi, Zakaria El Jamari pada ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok hari ini.
Petarung berusia 18 tahun yang lebih dikenali sebagai Jojo itu tampil garang sejak loceng pertama dengan asakan bertubi-tubi sehingga memaksa lawan lebih berpengalaman hanya mampu bertahan.
El Jamari akhirnya rebah tidak berdaya selepas menerima serangan bertali arus sebelum pengadil menghentikan aksi dan mengisytiharkan kemenangan ‘technical knockout’ (TKO) buat wakil Rentap Muaythai Gym itu.
Kejayaan kilat tersebut sekali gus menutup mulut pengkritik yang menjangkakan Jojo akan bergelut berdepan lawan lebih berpengalaman.
Lebih manis, kemenangan itu menebus kekecewaan selepas Jojo tewas dalam dua aksi terdahulu menentang Diego Paez dan Johan Estupinan. – UTUSAN