MARANG: Meskipun usaha mitigasi banjir seperti kerja-kerja mengorek dan mendalamkan parit serta tali air sudah dilakukan, penduduk di sekitar Kampung Alor Limbat di sini, tetap khuatir rumah mereka dinaiki air semasa musim tengkujuh yang dijangka melanda awal bulan depan.
Bagi mereka, langkah-langkah persiapan berdepan Monsun Timur Laut (MTL) dibuat setiap tahun namun kesan kedatangan musim tengkujuh menyaksikan ramai penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Seorang penduduk, Abdullah Mamat, 73, berharap musim tengkujuh kali ini tidak menyebabkan banjir besar memandangkan langkah-langkah mitigasi sudah diambil termasuk pembersihan tali air sepanjang 1.7 kilometer bermula Jambatan Bukit Damar sehingga Bukit Batu, berhampiran kampung berkenaan.
“Kawasan ternakan saya sering dinaiki air apabila tiba musim tengkujuh. Jika lambat bertindak memindahkan lembu ke kawasan lebih tinggi, saya berisiko menanggung rugi haiwan ternakan lemas akibat banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Tahun ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan MTL bermula awal bulan depan hingga hujung Mac 2026 dan dipengaruhi oleh fenomena La Nina lemah.
Keadaan ini diramal membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod setiap musim.
Seorang lagi penduduk, Baihaqi Azmi, 28, pula percaya kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan pembersihan tali air dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mampu mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku setiap hujung tahun.
Katanya, tindakan berkala itu memastikan aliran air dapat ditampung dan tidak tersekat jika berlaku taburan hujan luar biasa yang bertembung dengan air pasang.
“Diharapkan kali ini penduduk tidak lagi berpindah beramai-ramai menumpang di PPS akibat banjir. Semoga langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang diambil pihak-pihak berkaitan dapat mengurangkan impak bencana banjir,” katanya. – UTUSAN










