Rasuah tidak selesai selagi ada budaya beri komisen

Rasuah tidak selesai selagi ada budaya beri komisen

SALAWATI MAT BASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu rasuah dalam kalangan penjawat awam dilihat sukar dibanteras selagi wujud penawaran daripada pihak berkepentingan serta budaya pemberian komisen yang sudah berakar umbi dalam sistem perkhidmatan awam.

Lebih membimbangkan, gejala itu dikatakan berterusan apabila segelintir pegawai atasan sendiri didakwa menyalahgunakan kuasa dan menjadi teladan buruk kepada pegawai bawahan, sekali gus mengekalkan kitaran rasuah dalam perkhidmatan awam.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Salawati Mat Basir berkata, walaupun kerajaan menyediakan pelbagai sistem pemantauan dan undang-undang bagi membanteras gejala ra­suah, pelaksanaannya masih belum mencapai tahap berkesan kerana sistem itu boleh dimanipulasi.

Katanya, budaya menerima komisen sudah sebati dengan penjawat awam yang melihatnya sebagai sumber tambahan manakala pihak luar pula terus menawarkan suapan bagi mendapatkan kelulusan atau kontrak.

“Gejala rasuah akan terus berlaku selagi ada pegawai atasan yang menyalahgunakan kuasa dan menjadi te­ladan buruk kepada pegawai bawahan. Kalau orang atas sendiri yang ambil, orang bawah perlu buat apa? Dia yang pegang kuasa, tentukan markah tahunan.

“Jadi bawah-bawah ini diam sajalah. Kalau ketua berinte­griti, mungkin bawah pun akan ikut, tetapi kalau ketua pun sekali, habislah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Akhbar ini melaporkan amalan rasuah dalam perkhidmatan awam perlu ditangani lebih serius apabila seramai 2,527 penjawat awam ditahan dengan nilai keseluruhan rasuah dikesan mencecah RM15.88 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2020 hingga Ogos lalu.

Salawati berkata, perubahan sebenar hanya boleh berlaku apabila kepimpinan tertinggi dalam jabatan menunjukkan teladan dan ketegasan dalam menolak rasuah, bukannya sekadar mengulang slogan integriti tanpa tindakan.

Menurutnya, undang-undang sedia ada seperti bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sudah cukup untuk menangani isu rasuah namun pelaksa­naannya masih lemah.

Jelas beliau, sistem digital dan teknologi sekalipun tidak akan mampu menghapuskan rasuah sekiranya masih ada ruang untuk dimanipulasi oleh manusia.

“Sistem boleh diputar belit, boleh nampak baik di atas kertas tapi diseleweng dalam diam. Akhirnya semua bergantung pada sikap dan inte­griti individu. Kalau hati masih tamak, sistem sehebat mana pun tak guna.

“Undang-undang, penguat­kuasaan semua sudah lengkap tetapi manusia boleh manipulasi. Di Malaysia ini undang-undang banyak, tapi pelaksanaan tidak cukup kuat. Kesedaran pun belum cukup sebab budaya itu dah lama jadi kebiasaan,” katanya.

Kata Salawati, ramai penjawat awam jujur memilih untuk berdiam diri kerana bimbang terhadap keselamatan diri dan masa depan kerjaya sekiranya membuat laporan.

“Di Malaysia ini walaupun ada akta pemberi maklumat, akhirnya orang yang lapor tetap boleh dikenal pasti. Orang yang lapor boleh kena ugut, di­serang, malah dibunuh. Jadi ramai pilih untuk diam, sebab yang atas pun kadang sama terlibat,” katanya.

Menurutnya, kempen kesedaran yang dijalankan selama ini lebih bersifat kosmetik dan tidak memberi kesan mendalam kerana hanya dilakukan untuk menunjukkan tindakan di atas kertas.

“Kalau tanya saya, kempen tu sekadar ‘luaran’, semua orang tahu siapa yang ambil, siapa yang tidak ambil. Tetapi tiada siapa nak ambil tindakan sebab takut diri sendiri te­rancam. Jadi akhirnya semua diam dan terus menurut perintah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN