KANGAR: Penularan audio mirip Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang turut berkaitan dengan serangan terhadap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan Perikatan Nasional (PN) negeri berdepan perpecahan dalaman yang serius.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, meskipun pihaknya tidak berhasrat mencampuri soal itu, sebaliknya kegagalan menguruskan perpaduan dalam kerajaan negeri menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan mentadbir negeri dengan baik dan berhemah.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak berminat dengan perebutan kuasa yang sedang melanda PN Perlis.
“Kita mengambil maklum berhubung penularan satu rakaman audio yang dikaitkan dengan Menteri Besar di pelbagai platform media sosial ketika ini.
“Rakaman yang tular itu didakwa mengandungi ucapan yang menimbulkan sangkaan buruk terhadap institusi diraja, kritikan terbuka terhadap beberapa pemimpin Bersatu, isu pelantikan pegawai di agensi kerajaan negeri dan polemik dalaman PN di peringkat Perlis.
“Namun paling dikesali apabila kandungan audio tersebut turut menyentuh kredibiliti, kedudukan serta kewibawaan institusi Raja Perlis. Sekiranya hal tersebut benar, ia merupakan satu pelanggaran adab dan prinsip kesetiaan yang amat serius serta menyinggung maruah negeri yang berdaulat,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohd. Shukri sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung siasatan penularan audio didakwa berunsur fitnah itu. – UTUSAN










