PETALING JAYA: Ratu wushu negara, Tan Cheong Min terus mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia selepas memenangi pingat perak acara nandao pada Kejohanan Wushu Dunia di Brasilia, Brazil, hari ini.
Atlet berusia 27 tahun dari Melaka itu mengutip 9.726 mata, hanya dipisahkan tipis oleh wakil China, Zhang Yaling yang meraih emas dengan 9.746 mata.
Gangsa pula menjadi milik Chao Tang Hsun dari Taiwan selepas berjaya mengutip 9.693 mata.
Kejayaan ini menyaksikan Cheong Min kini memiliki lapan pingat dunia sejak penampilan sulungnya pada 2017 di Kazan, Rusia.
Secara keseluruhan, koleksi pingatnya merangkumi dua emas di Shanghai (2019) serta Kazan (2017) manakala empat perak dan dua gangsa.
Cheong Min masih berpeluang menambah pungutan pingat di Brazil apabila akan turun beraksi dalam acara nangun dan nanquan.
Bulan lalu, atlet berusia 27 tahun itu mencipta sejarah apabila membantu kontinjen negara meraih kilauan emas pertama di temasya Sukan Dunia 2025 di Chengdu, China.
Dalam perkembangan lain, Lee Jia Rong turut menghadiahkan gangsa buat Malaysia menerusi acara gunshu wanita selepas mengutip 9.703 mata. – UTUSAN