Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini dianugerahkan Pemegang Kursi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang Kompetensi Pendidik bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kemahiran Merentas Bidang Untuk Pembangunan Profesional, berkuat kuasa pada 30 Jun lalu sehingga 30 Jun 2029.
Anugerah itu menjadikan UTHM tersenarai dalam kalangan universiti terkemuka dunia yang diberi mandat oleh pertubuhan berkenaan untuk memperkasa empat bidang utama iaitu bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidikan, inovasi dan kepimpinan pendidikan.
Pelantikan selama empat tahun itu meletakkan UTHM di barisan hadapan dalam membentuk masa depan pendidikan teknikal dan vokasional selaras dengan Strategi Jangka Sederhana UNESCO 2022-2029 serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Profesor Emeritus Dr. Jailani Md. Yunos, tokoh ilmuwan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang TVET telah dilantik sebagai ketua yang akan melaksanakan inisiatif tersebut.
Menurut Jailani, kursi itu bukan sekadar gelaran tetapi ia merupakan satu misi berteraskan tiga objektif strategik utama iaitu pelaksanaan inisiatif secara menyeluruh dalam memperkasakan kemahiran merentas bidang, termasuk kesedaran keselamatan digital dan pengintegrasian etika dalam konteks TVET.
Selain itu, pemegang kursi itu juga bakal menerapkan kemahiran hijau dalam program latihan pendidik bagi memastikan mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan prinsip kelestarian dalam amalan pengajaran mereka.
Ia juga berperanan membangunkan dan melaksanakan program holistik untuk memupuk kepelbagaian jantina, seterusnya menyemai budaya inklusif, kemajuan kerjaya dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pendidik dan pelajar TVET.
”Ketiga-tiga objektif ini menjadi panduan kepada agenda teras Kursi UNESCO dalam mentransformasikan TVET daripada model latihan konvensional kepada sebuah platform dinamik yang berteraskan inovasi, keterangkuman dan meningkatkan kerelevanan di peringkat global, ujarnya.
Untuk rekod, Kursi UNESCO yang mula ditubuhkan pada 1992 itu mempunyai lebih 950 kursi di lebih 120 negara, berperanan menyumbang kepada kemajuan ilmu dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan. – UTUSAN