LONDON: Manchester United masih gagal mencatat kemenangan Liga Perdana selepas diikat 1-1 oleh Fulham di Craven Cottage, awal pagi tadi.
Anak buah Ruben Amorim mendahului pada minit ke-60 hasil jaringan sendiri Rodrigo Muniz tetapi disamakan oleh Emile Smith Rowe yang masuk sebagai pemain gantian.
Sebelum itu, Bruno Fernandes mensia-siakan peluang keemasan apabila menendang tinggi sepakan penalti pada separuh masa pertama.
“Selepas gol kami, pemain hanya fikir keputusan, bukan cara bermain. Kami okay sebelum gol, tetapi selepas itu kami kurang bijak,” kata Amorim.
United yang menamatkan musim lalu di tangga ke-15, kini berdepan tekanan selepas barisan serangan baharu bernilai 200 juta pound (RM1.13 bilion) masih belum menjadi.
Fulham pula berang dengan beberapa keputusanVideo Bantuan Pengadil (VAR), termasuk dakwaan tolak oleh Leny Yoro ketika gol pertama United.
Smith Rowe akhirnya menyelamatkan satu mata buat tuan rumah selepas menyempurnakan hantaran Alex Iwobi pada minit ke-73.
Bagi United, ianya bermakna dua mata lagi terlepas selepas tewas 0-1 kepada Arsenal minggu lalu. – AGENSI