Teater Anak Kerbau Mati Emak cuit hati

Teater Anak Kerbau Mati Emak cuit hati

PARA pelakon teater Anak Kerbau Mati Emak menyajikan pementasan penuh penjiwaan yang berjaya mencuit hati para penonton yang memenuhi Auditorium JKKN, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penonton memenuhi segenap ruang Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis di sini semalam, ‘tak kering gusi’ dan penuh keterujaan menyaksikan setiap babak di dalam pementasan teater Anak Kerbau Mati Emak hasil karya Malina Manja itu.

Naskhah yang membawa mesej kemanusiaan dan konflik kehidupan masyarakat di dalam genre komedi itu berjaya disampaikan de­ngan cukup berkesan oleh barisan pelakon terdiri daripada Che Mat Raja Lawak, Fendy Bakry, Yaakob Aziz, Saiful Azwan, Nida Azizan, Zali Shuhali, Hafeds, Hazwani Tarisya dan Amin Razak.

Sepanjang satu jam pementasan, auditorium gamat dengan gelak tawa penonton khususnya melihat gelagat Tawil yang dilakonkan Che Mat Raja Lawak.

Pementasan hasil olahan dan arahan Hairi Safwan yang digarap berkonsepkan realisme itu juga sarat dengan mesej kehidupan dalam masyarakat desa melibatkan isu tanah, cemburu, kemasyarakatan dan hubungan kekeluargaan.

Kisah bermula dengan babak Tawil yang meminta untuk diurut punggungnya setelah cedera di­sondol anak kerbau kematian emak.

Namun begitu, proses meng­urut tersebut terganggu dengan pelbagai masalah kampung termasuk isu tanah, kisah cemburu Kulup (Fendy Bakry) terhadap Cikgu Salim (Amin Razak) dan kebun Kamarun (Zali Shuhali) yang musnah angkara perbuatan anak kerbau mati emak serta kemelut rumah tangga Pak Mohsin (Saiful Azwan) dengan Mak Jumi (Nida Azizan).

Pementasan tersebut berlangsung selama dua hari dari 15 sehingga 16 Ogos dengan sambutan cukup memberangsangkan apabila tiket habis terjual.

Pada malam pertama pementasan, ia turut dihadiri oleh Pe­ngarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah.

Rosnan berkata, kehadiran penonton menyaksikan pementasan tersebut membuktikan bahawa persembahan teater telah kembali menjadi wadah hiburan buat masyarakat.

“Budaya menonton teater sebelum ini agak kurang buat ge­nerasi muda tapi pada malam ini (semalam), dapat dibuktikan bahawa teater kembali menjadi wadah hiburan kepada masyarakat khususnya di Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN