SIMUNJAN: Pelajar dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong di sini kini menikmati ekosistem pembelajaran dan pengajaran yang moden dan kondusif hasil daripada pelaksanaan projek pembinaan gantian 12 bilik darjah, lima unit rumah guru dan lain-lain kemudahan di sekolah luar bandar itu.
Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata projek adalah antara inisiatif penting kerajaan yang digerakkan melalui kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Tujuan utama projek ini dilaksanakan adalah untuk menaik taraf prasarana pendidikan di kawasan luar bandar agar selari dengan aspirasi nasional mengukuhkan ekosistem pembelajaran dan pengajaran yang moden, kondusif dan inklusif yang dapat merangsang kecemerlangan anak-anak kita.
“Kita tidak hanya membina bangunan tetapi sebenarnya kita membina harapan dan masa depan, dengan menjadikan sekolah sebagai ruang tumbuhnya generasi masa hadapan yang berilmu, berakhlak, berteknologi dan berdaya saing,” katanya pada majlis penyerahan projek pembinaan gantian 12 bilik darjah, lima unit rumah guru dan lain-lain kemudahan di SMK Sri Sadong, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata projek bernilai RM28.73 juta itu dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia bermula 17 Mac 2022 dan berjaya disiapkan awal daripada jadual pada tahun ini.
Alexander berkata projek itu dilaksanakan secara Konvensional Perunding oleh kontraktor yang dilantik iaitu Welfield Services Sdn. Bhd.
Katanya antara skop utama projek melibatkan pembinaan satu blok akademik yang merangkumi 12 bilik darjah, bengkel elektrik/elektronik dan bengkel pembuatan, makmal komputer, makmal sains, makmal kimia, makmal biologi dan makmal fizik, Bilik Pendidikan Khas (PPKI), satu blok kantin, lima unit rumah guru kelas F serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
Terdahulu, Alexander berkata kementeriannya melalui JKR telah menyerahkan dua projek siap infrastruktur pendidikan di luar bandar semalam, iaitu di Padawan dan di Simunjan.
Justeru, beliau berharap pelaksanaan projek itu bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal sesebuah sekolah tetapi mampu menyuntik semangat baharu dalam kalangan guru dan pelajar serta dapat meningkatkan lagi tradisi kecemerlangan sekolah dan pelajarnya dari segi akademik dan pembangunan modal insan. – UTUSAN







