KUALA LUMPUR: Rayuan Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh terhadap keputusan yang membenarkan permohonan untuk memindahkan rasuah yang dihadapinya dan syarikat berkenaan ke mahkamah berlainan didengar pada 21 Januari 2026.
Pada 12 September 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes membabitkan Abdul Hamid Shaikh dan dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi Hydroshoppe di hadapan Hakim Suzana Hussain.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin pada sebutan kes itu hari ini.
Ifa Sirrhu berkata, pada tarikh sama, Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar permohonan Abdul Hamid Shaikh untuk menggantung prosiding perbicaraan juga.
Dalam pada itu, Ifa Sirrhu berkata semua dokumentasi berkaitan kes itu telah siap namun senarai saksi masih belum dapat diserahkan kepada mahkamah.
Justeru, mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi tersebut kepada mahkamah selain menetapkan sebutan kes seterusnya pada 26 Januari 2026.
Dalam prosiding hari ini, Abdul Hamid Shaikh diwakili peguam, Joshua Tan Hing Foong.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh menawarkan suapan itu kepada Ser Lay bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN








