GEORGE TOWN: Keputusan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar tarif eksport Malaysia kepada 19 peratus disifatkan sebagai satu rahmat yang besar, sekali gus meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara ASEAN lain dalam hubungan perdagangan serantau.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu merupakan perkembangan positif yang melegakan sektor eksport negara, terutamanya di negeri ini yang bergantung kepada industri seperti elektrikal dan elektronik (E&E), pembuatan serta peranti perubatan.
“Ia satu rahmat atau blessing. Kadar tarif itu kini selaras dengan negara ASEAN lain, mewujudkan padang permainan yang lebih seimbang dalam perdagangan serantau,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, di sini hari ini.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden AS, Donald Trump, semalam. Sebelum ini Malaysia dikenakan kadar tarif sehingga 25 peratus.
Dokumen pelarasan baharu itu yang bertarikh 31 Julai 2025 telah dimuat naik di laman rasmi Rumah Putih.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata penurunan tarif berkenaan mampu meningkatkan daya saing eksport Malaysia, namun masih banyak perlu dilakukan.
“Kita tetap berdepan persaingan sengit daripada negara serantau yang menikmati kadar tarif lebih rendah atau sifar melalui perjanjian perdagangan bebas.
“Kita tunggu butiran lanjut daripada United States Trade Representative (USTR) serta Kerajaan Persekutuan mengenai sektor lain yang mungkin terkesan atau mendapat manfaat,” katanya.
Kon Yeow turut menggesa Kerajaan Persekutuan agar terus berunding bagi mendapatkan konsesi tarif lebih besar dalam sektor strategik supaya Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian bekalan global.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong industri tempatan dan pengeksport agar dapat menyesuaikan diri dengan landskap perdagangan global yang sentiasa berubah,” katanya.
Kon Yeow turut menyambut baik hasrat Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN akan datang, yang disifatkannya sebagai isyarat positif untuk menyelesaikan cabaran perdagangan secara diplomatik. – UTUSAN










