Projek kereta kabel: BPMB-Hartasuma meterai perjanjian RM367.2j

Projek kereta kabel: BPMB-Hartasuma meterai perjanjian RM367.2j

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Hartasuma Ropeways Sdn. Bhd. (Hartasuma Ropeways) hari ini memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM367.2 juta untuk membangunkan projek kereta kabel di Bukit Bendera.

Pengarah Urusan Perbankan Korporat dan Pelaburan BPMB, Mohamed Nazri Omar berkata, pembiayaan itu merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk menyokong infrastruktur pelancongan mampan yang memberi impak sosial dan ekonomi untuk jangka panjang.

“Dengan bersama menjayakan projek kereta kabel Bukit Bendera ini, kami membantu memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelancongan bertaraf dunia selain mencipta peluang bermakna untuk komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani kemudahan pembiayaan bagi pembangunan projek kereta kabel Bukit Bendera yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Menerusi perjanjian itu, Hartasuma Ropeways selaku pemaju projek terbabit akan bertanggungjawab membangun, membiayai, mengoperasi serta menyelenggara sistem kereta kabel berkenaan sebagai pelengkap kepada perkhidmatan rel funikular sedia ada menerusi komitmen jangka panjang mereka.

Bagi Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri PM Ravindran pula, projek pembangunan kereta kabel itu disifatkan sebagai legasi yang akan dikenang oleh generasi akan datang.

“Sistem kereta kabel ini direka untuk mengangkut sehingga 1,400 penumpang sejam bagi setiap arah dengan tempoh perjalanan sekitar 10 minit dari Taman Botani Pulau Pinang sehingga ke puncak Bukit Bendera,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, dengan jumlah penumpang funikular yang melebihi satu juta tahun ini serta kerja transformasi di astaka yang sedang berjalan, keperluan bagi projek ini kini menjadi semakin mendesak.

“Kereta kabel bukan pengganti, tetapi, merupakan pelengkap yang akan mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kesiapsiagaan musim puncak.

“Fokus kepada kelestarian menjadi tunjang projek yang turut menjanjikan 400 peluang pekerjaan, latihan belia dan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), di samping penggunaan tenaga solar serta teknik pembinaan lestari yang mengekalkan ekosistem Bukit Bendera ketika ini,” katanya.

Tambah Kon Yeow, apabila projek itu siap sepenuhnya menjelang awal 2027, ia bukan sahaja menjanjikan transformasi dari segi akses dan pengalaman pelawat, malah, ia turut membuktikan bagaimana sinergi sektor awam dan swasta mampu memacu pembangunan negara secara mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN