Angka kematian kebakaran bar di Bangkok meningkat - Utusan Malaysia

Angka kematian kebakaran bar di Bangkok meningkat

ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan selepas sebuah bar yang terbakar di Bangkok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran besar di sebuah bar di Bangkok mula menuntut jasad orang tersayang pada Selasa.

Mereka berbuat demikian ketika angka kematian meningkat kepada 30 orang, manakala sebahagian lagi masih berharap ahli keluarga yang dilaporkan hilang masih hidup.

Kebakaran memusnahkan bar dan restoran Rong Beer Na Lat Phrao di ibu negara Thailand itu lewat malam Ahad.

Ia berlaku  ketika persembahan muzik secara langsung sedang berlangsung menyebabkan orang ramai bertempiaran lari dengan beberapa mangsa terbakar pada pakaian mereka.

Seramai 27 mangsa disahkan meninggal dunia pada awal pagi Isnin, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan pada hari yang sama.

Menjelang pagi Selasa, Pejabat Daerah Chatuchak di Bangkok memaklumkan angka kematian meningkat kepada 30 orang, manakala 75 lagi cedera, termasuk 24 mangsa yang berada dalam keadaan kritikal.

Ahli keluarga mangsa yang maut berkumpul di Hospital Polis Besar bagi menuntut jenazah orang tersayang dan wartawan AFP menyaksikan seorang lelaki memegang colok di atas sebuah keranda.

Booyaporn Sermsiri berada di hospital untuk mencari anak perempuannya yang berusia 25 tahun, Jawaee ‘Cartoon’ Sermsiri, yang masih dilaporkan hilang.

“Disebabkan  kami masih belum menemuinya, kami hanya mampu menunggu. Kami masih berharap,” katanya.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata sejurus selepas kejadian bahawa kebanyakan mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap.

Pasukan forensik polis sedang memeriksa sisa kebakaran ketika pihak berkuasa berusaha mengenal pasti punca kebakaran dan sebab ia mengorbankan begitu ramai mangsa. 

Siasatan turut menumpukan kepada kemungkinan berlaku kerosakan elektrik dan sama ada laluan keluar kecemasan dihalang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN