Penganggur bakar lori tunda MBJB sebab tarik kereta, dipenjara lima tahun

Penganggur bakar lori tunda MBJB sebab tarik kereta, dipenjara lima tahun

WAN Muhammad Nasrul W. Ahmad (memegang beg plastik putih) dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas didapati bersalah membakar sebuah lori tunda MBJB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penganggur dipenjara lima tahun dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membakar lori tunda Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jumaat lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok selepas tertuduh, Wan Muhammad Nasrul W. Ahmad, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, dia didakwa melakukan khianat menggunakan petrol dengan niat mengakibatkan kebinasaan dengan cara membakar lori tunda milik MBJB sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM24,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Depoh Simpanan Kenderaan, Lot 1, Johor Bahru Waterfront di sini, pada pukul 11.07 pagi, Jumaat lalu. Atas kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh mengaku telah membakar lori tunda MBJB tersebut kerana marah kereta Perodua Axia miliknya ditarik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, sehari sebelum kejadian.

“Betul, saya yang bakar. Saya berasa marah sebab kereta ditarik. Saya dah minta pengecualian kompaun tetapi daripada RM500 jadi RM250, kalau RM200 pun saya tak ada duit nak bayar.

“Saya orang susah, banyak komitmen yang saya tanggung sendiri. Saya banyak hutang, kereta, motosikal dan rumah. Saya juga baharu sahaja hendak mula bekerja,” katanya sebelum hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh adalah kesalahan serius.

“Alasan tidak mempunyai wang dan sedang dalam keadaan marah tidak membenarkan tertuduh bertindak secara tidak rasional dengan membakar kenderaan milik pihak lain.

“Apatah lagi tindakan itu dibuat di kawasan umum dengan turut terdapat individu lain yang bekerja di kawasan berkenaan, ini secara tidak langsung membahayakan keselamatan orang lain,” katanya.

Insiden tersebut tular di media sosial menerusi rakaman video memaparkan suspek bertindak menuang minyak petrol dan membakar sebuah lori tunda MBJB. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN