DAMSYIK: Presiden Perancis, Emmanuel Macron berada dalam keadaan selamat, menurut Istana Elysee pada Selasa susulan beberapa letupan berhampiran hotel di Damsyik tempat beliau bermalam.
Macron telah meninggalkan hotel itu ketika letupan berlaku dan kini berada di Istana Presiden Syria untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Ahmed al-Sharaa, bersama delegasi masing-masing.
Pertemuan itu akan diikuti dengan sesi perbincangan empat mata antara Macron dan Sharaa, menurut pihak presiden Perancis.
Pihak berkuasa Syria berkata, seramai 18 orang, termasuk empat anggota polis cedera dalam letupan tersebut. Punca letupan itu bagaimanapun masih belum didedahkan.
Sumber tempatan yang dipetik Reuters memaklumkan bahawa satu bom disembunyikan di dalam sebuah van mini, manakala satu lagi diletakkan di dalam tong sampah di sepanjang salah satu jalan paling sibuk di ibu negara Syria itu.
Menurut laporan tersebut, Macron berada di Istana Presiden bagi mengadakan perbincangan dengan Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa, ketika letupan berlaku berhampiran hotel penginapannya.
Istana Elysee mengesahkan bahawa Presiden Perancis itu berada dalam keadaan selamat dan lawatan rasminya akan diteruskan seperti yang dirancang.
Menurut pihak Presiden Perancis, Macron sedang mengadakan perbincangan dengan al-Sharaa bersama delegasi masing-masing sebelum dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata.
Letupan itu berlaku kurang seminggu selepas satu serangan bom di sebuah kafe berhampiran Istana Kehakiman, di jalan menuju ke Pasar Hamidiye, mengorbankan 10 orang dan mencederakan 21 yang lain pada 2 Julai. – AGENSI










