Penduduk terima RM30 setiap kali lori masuk buang sampah haram

Penduduk terima RM30 setiap kali lori masuk buang sampah haram

SUHAIZAN Kayat (kiri) menunjukkan tanah lapang yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram di Kampung Tuah Jaya berhampiran Taman Perling, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketamakan segelintir penduduk yang sanggup menerima bayaran RM30 untuk membenarkan lori membuang sampah haram telah menjejaskan kehidupan lebih 500 penduduk Kampung Tuah Jaya, berhampiran Taman Perling, sejak lima tahun lalu.

Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, kawasan kampung terbabit kini menempatkan tapak pembuangan sampah haram seluas 32 hektar, sekali gus menjadi punca pencemaran bau yang mengganggu kehidupan harian penduduk.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, kegiatan pembuangan sampah terbongkar selepas penduduk menjalankan siasatan sendiri, termasuk menggunakan dron bagi meninjau kawasan sekitar.

Katanya, hasil siasatan mendapati sebahagian penduduk memberikan kebenaran kepada lori masuk ke kawasan kampung dengan bayaran RM30 untuk membuang sampah, terutama bahan buangan binaan.

“Pembuangan biasanya dilakukan pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa atau penduduk,” katanya dalam tinjauan petang semalam.

Suhaizan melakukan tinjauan itu selepas menerima aduan daripada penduduk bulan lepas, tentang aktiviti pembuangan sampah haram yang telah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Susulan pendedahan itu, Suhaizan memaklumkan laporan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pemilik tanah bagi menghentikan pencerobohan.

“Terima kasih kepada tindakan segera pihak berkuasa dan pemilik tanah. Kini, kenderaan tidak berkaitan tidak lagi dibenarkan memasuki kawasan terbabit,” katanya.

Seorang penduduk, Rosli Mohamad, 60, berkata sampah-sarap yang terkumpul menyebabkan kawasan itu menjadi sarang binatang berbisa dan membimbangkan keselamatan penduduk.

“Kami tak sangka kawasan kampung ini menjadi tempat buangan haram. Kami harap pihak berkuasa dapat bersihkan kawasan ini secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN