Pelajar dilanggar polis meninggal dunia selepas empat hari

Pelajar dilanggar polis meninggal dunia selepas empat hari

KEMALANGAN melibatkan seorang remaja yang menunggang motosikal dengan Perodua Axia dipandu anggota polis di persimpangan lampu isyarat Pekan Guar Cempedak di Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang remaja lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 28 Julai lalu meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar malam tadi.

Mangsa, Muhammad Nur Iman Danial Mohd. Roshidi, 16, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9 malam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kecederaan parah di kepala. 

Anak kedua daripada empat beradik itu tidak sedarkan diri sejak kejadian dan disahkan meninggal dunia selepas usaha menyelamatkannya gagal.

Kemalangan berlaku di pekan Guar Cempedak pada pukul 9.10 malam ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha LC dalam perjalanan dari Alor Setar ke Gurun. 

Ketika mangsa memulakan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, sebuah Perodua Axia dari arah Jenun menghala ke Yan didakwa melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikalnya.

Kenderaan terbabit yang dipandu oleh seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menyebabkan mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah kereta, mengakibatkan kecederaan parah.

Jenazah Muhammad Nur Iman, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Cempedak 2 dan anak kepada pesara polis, dibawa pulang ke rumah keluarganya di Batu 18 dan dijangka dikebumikan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang cuai ketika memandu hingga mengakibatkan kemalangan.

“Semua laporan berkaitan termasuk daripada pemandu kereta akan diteliti mengikut prosedur siasatan yang telus,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta lesen memandu digantung minima lima tahun jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN