PETALING JAYA: Pearly Tan-M. Thinaah mencatat sejarah apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis, hari ini.
Beregu No. 2 dunia itu membenam pasangan No. 3 dunia, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun dalam pertarungan sengit yang berlanjutan sehingga ke rubber set 14-21, 21-13, 21-12 dalam masa 1 jam 8 minit di Adidas Arena.
Kemenangan gandingan negara ke atas Matsuyama-Shida merupakan kejayaan yang ketiga selepas ditimpa 13 kekalahan sebelum ini berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua beregu.
Kejayaan itu juga merupakan yang kedua diraih berturut-turut Pearly-Thinaah menentang Matsuyama-Shida, selepas melakar kemenangan straight set 21-13, 21-11 pada separuh akhir Terbuka Jepun, bulan lalu.
Apa yang lebih manis pertembungan itu juga mengulangi aksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang menyaksikan beregu No. 1 Jepun itu menewaskan Pearly-Thinaah untuk membawa pulang pingat gangsa, tetapi, kali ini kejayaan berpihak kepada pasangan Malaysia pula di gelanggang sama.
Dalam perlawanan akhir, esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan sama ada beregu No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China ataupun pasangan No. 9 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun.
Thinaah yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemu bual berkata, sukar untuk dia percaya mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir pada kejohanan dunia selepas mengharungi pelbagai onak dan duri sepanjang karier.
“Terima kasih kepada individu yang sentiasa berada di sekeliling kami dan kami amat bersyukur di atas pancapaian ini.
“Masih ada satu lagi perlawanan menanti kami dan seboleh mungkin saya mahu kami menikmati perjalanan ini dan beraksi dalam keadaan tenang serta konsisten,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pearly pula berkata, komunikasi antaranya dan Thinaah banyak membantu mereka bermain dengan lebih tenang dan esok, siapapun pencabar yang bakal ditemui, dia amat berharap dapat mengharunginya dengan lebih baik.- UTUSAN










