Patuhi dasar, RMK13 bukan angan-angan - Pakar

Patuhi dasar, RMK13 bukan angan-angan – Pakar

BASHIR AHMAD SHABIR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Patuhi dasar-dasar diperkenalkan dan kekalkan momentum pertumbuhan, itu antara syarat ditetapkan oleh penganalisis ekonomi untuk memboleh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dicapai sepenuhnya.

Selain itu, kerajaan juga perlu memberikan sokongan melalui bantuan-bantuan dan belanjawan tahunan untuk membolehkan segala perancangan diterjemahkan.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, Malaysia berpotensi menjadi negara maju menjelang tahun 2030 seperti dirancang di bawah RMK13 dengan syarat kerajaan patuhi semua dasar-dasar yang diperkenalkan dan menepati sasaran serta had tempoh ditetapkan.

Antara dasar penting untuk kerajaan patuhi adalah Dasar Gaji Progresif (DGP), Dasar Gaji Minimum, Dasar Pelan Guna Ubah Tenaga Baharu (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Kata beliau, pematuhan kepada dasar-dasar yang dirangka amat penting kerana ia akan menjadi nadi dan tunjang kepada struktur keberkesanan RMK13.

Kedua, katanya, penting bagi Malaysia memastikan momentum pertumbuhan dan jalinan perdagangan antarabangsa dikekalkan serta kemampuan daya saing di peringkat global dipertingkatkan berikutan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi dunia pada masa ini.

“Di samping keperluan untuk memberi penumpuan terhadap pertumbuhan domestik, perlu dititikberatkan dan dipastikan kerancakan permintaan serta penawaran dalaman diimbangi dengan keadaan ekonomi semasa.

“Selain itu, ia juga perlu disokong dengan bantuan-bantuan dan belanjawan tahunan yang dapat diterjemahkan dalam konteks kemampanan struktur ekonomi domestik supaya lebih kukuh dan relevan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, antara lain yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam RMK13 kelmarin iaitu penyarasan Pendapatan Negara Kasar (PNK) mencapai RM77,200 setahun atau secara puratanya RM6,400 sebulan adalah merujuk kepada sektor tenaga mahir.

Katanya, sasaran minimum yang ditetapkan itu adalah asas kepada usaha negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2030.

“Adakah ia mampu dicapai? Ia terletak kepada dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan yang perlu dicapai dalam tempoh lima tahun dari sekarang. Jika ia tidak direncatkan oleh ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, maka ia adalah sasaran yang mampu dicapai.

“Jika merujuk kepada jurang antara pekerja mahir dan bukan mahir maka di sini letaknya keberkesanan Dasar Gaji Progresif dan Dasar Gaji Minimum termasuk Dasar Gaji Wajar Kehidupan yang mula diperluaskan oleh kerajaan ke atas GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) dan GLiC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan) termasuk ke swasta dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Mengenai keupayaan negara menampung perbelanjaan sehingga RM611 bilion dalam RMK13, Bashir Ahmad berkata, tidak timbul isu kemampuan kerajaan dalam memastikan jumlah itu dipenuhi kerana ia telah dirancang daripada awal.

“Peruntukan sebanyak RM611 bilion dipecahkan kepada beberapa pembiayaan antaranya RM430 bilion dari kerajaan melalui kutipan hasil cukai langsung dan tidak langsung termasuk levi, tarif, hasil bukan cukai dan pendapatan lain termasuk hasil dari negeri, manakala baki RM120 bilion adalah pembiayaan GLC dan GLiC dan selebihnya melalui sokongan pihak swasta melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) berjumlah RM61 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN