Kuarters, balai polis seluruh negara akan diselenggara - Utusan Malaysia

Kuarters, balai polis seluruh negara akan diselenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kerajaan memperuntukkan RM127 juta bagi pelaksanaan Projek Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters dan Balai Polis seluruh negara dalam Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sebanyak RM44.35 juta akan digunakan bagi menambah baik dan menyelenggara balai polis, manakala RM77.65 juta bagi tujuan sama melibatkan 3,716 unit kuarters di seluruh negara.

Katanya, kerja-kerja sama turut dijalankan melibatkan 10 blok kuarters dan premis PDRM lain di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dengan peruntukan RM3.7 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini Kementerian Ekonomi telah memperuntukkan RM122 juta bagi projek berkenaan, tetapi kita telah luluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta menjadikan keseluruhan peruntukan projek ini meningkat kepada RM127 juta.

“Kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan projek dibawah RMK13 dibuat berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, dengan memberi keutamaan kepada aset awam yang memerlukan intervensi dan mempunyai implikasi terhadap penyampaian perkhidmatan Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Taman Perumahan Polis Daerah Kluang di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad.

Tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu, pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan pengurusan aset awam dilaksana secara bersepadu, berasas data dan berorientasikan prestasi, supaya pelaburan awam dapat memberikan manfaat dan dioptimumkan.

“Pendekatan ini melihat prestasi aset secara menyeluruh sepanjang kitar hayatnya iaitu daripada perancangan dan pembinaan kepada operasi, penyelenggaraan, naik taraf dan akhir hayat aset.

“Kerja-kerja naik taraf sudah boleh dimulakan hari ini, dan kita jangka ia akan siap sebelum akhir tahun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×