PARLIMEN: KPKT kaji RUU lindungi pembeli premis

PARLIMEN: KPKT kaji RUU lindungi pembeli premis

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti keperluan menggubal Rang Undang-Undang baharu bagi melindungi pembeli premis komersial seperti kedai yang ketika ini tidak termasuk dalam perlindungan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah itu penting bagi memastikan pembeli kedai turut mendapat jaminan undang-undang seperti pembeli rumah yang dilindungi di bawah Akta 118.

“Isu pertama yang dibangkitkan ialah mengenai pemilik kedai. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, premis komersial berada di luar skop Akta 118. 

“Justeru, kementerian sedang menjalankan kajian supaya satu rang undang-undang baharu dapat dikemukakan bagi memastikan pembeli kedai turut dilindungi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) yang membangkitkan isu ramai pembeli rumah dan kedai sengsara akibat projek terbengkalai serta menyoal langkah kerajaan berhubung kira-kira RM22 bilion hartanah siap yang tidak terjual tahun lalu.

Mengulas mengenai projek perumahan sakit, Kor Ming berkata, jumlahnya kini menurun kepada hanya 109 projek selepas kementerian berjaya menyelamatkan 1,171 projek yang sebelum ini terbengkalai.

“Itu adalah hasil usaha gigih yang menuntut masa serta langkah proaktif kerajaan. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perumahan Negara serta seluruh pasukan yang komited dan profesional dalam membantu menyelesaikan projek-projek terbengkalai ini,” katanya.

Tambah beliau, usaha kerajaan Madani juga berjaya membantu lebih 2,400 pembeli rumah yang terjejas akibat projek terbengkalai termasuk majoritinya anak muda Melayu yang membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN