KUALA LUMPUR: Isu penjenamaan semula Tabung Haji (TH) perlu menekankan pemilihan syarikat atau individu yang benar-benar memahami prinsip Islam serta mempunyai pengalaman menunaikan haji.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, persoalan utama bukan siapa yang dilantik, tetapi memastikan syarikat atau individu yang diberikan kontrak mempunyai pemahaman mendalam mengenai perjalanan ibadah haji dan pengurusan TH.
“Kita tidak boleh lantik syarikat yang ahli lembaganya sendiri belum pernah menunaikan haji. Rebranding (penjenamaan) ini bukan sekadar menukar nama atau logo, tetapi melibatkan audit, komunikasi dan strategi menyeluruh yang perlu difahami oleh mereka yang berpengalaman dengan TH,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, setiap konsultan yang dilantik perlu memahami cita-cita pendeposit serta memastikan keselesaan mereka semasa menunaikan haji.
“Audit yang dibuat harus merangkumi semua aspek dari perancangan hingga pelaksanaan dan konsultan perlu menguasai selok-belok pengurusan institusi itu. Latar belakang etnik tidak menjadi isu sama ada Melayu atau sebagainya tetapi mestilah beragama Islam dan memahami prinsip Islam,” katanya.
Sementara itu, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) menyuarakan kebimbangan mengenai pemberian kontrak penjenamaan secara runding terus kepada syarikat bukan Islam walaupun terdapat syarikat Islam yang lebih berkemahiran.
“Rundingan terus dibenarkan bagi keperluan khas terutama untuk perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus.
“Namun, alasan ini telah digunakan untuk melantik syarikat bukan Islam, walhal syarikat Islam mampu melaksanakan projek rebranding secara menyeluruh termasuk komunikasi, pengiklanan dan strategi,” katanya.
Ahmad Marzuk berkata, isu itu menimbulkan keraguan dalam kalangan pendeposit mengenai keyakinan terhadap TH.
“Ini bukan soal rasis atau etnik, tetapi mengenai kepakaran dan kesesuaian konsultan bagi mengurus institusi Islam seperti TH,” katanya. – UTUSAN










