PARLIMEN: Guru Pasti perlu dibayar gaji minimum

PARLIMEN: Guru Pasti perlu dibayar gaji minimum

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pematuhan terhadap Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 terpakai kepada guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sama seperti pekerja sektor swasta yang lain.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sebarang ketidakpatuhan perlu dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan siasatan.

Beliau menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas cadangan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob supaya peneroka Felda diberikan gaji minimum, Steven berkata, mereka tidak terikat dengan majikan dalam hubungan kerja konvensional.

“Hubungan mereka dengan Felda merupakan hubungan usahasama dan bukan hubungan majikan-pekerja seperti yang termaktub di bawah Akta Kerja 1955. Oleh itu, liputan gaji minimum tidak terpakai kepada peneroka Felda,” katanya.

Steven berkata, Seksyen 25 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 memberi tanggungjawab kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) untuk melaksanakan kajian semula PGM sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.

Katanya, penetapan gaji minimum baharu akan dilakukan melalui proses kajian saintifik dan sistematik selaras dengan aspirasi ke arah dasar berasaskan bukti.

“Sesi libat urus akan dijalankan di seluruh negara melibatkan persatuan majikan, wakil industri, kesatuan sekerja, pekerja, agensi kerajaan serta pakar antarabangsa seperti International Labour Organisation (ILO).

“Majlis tripartite MPGN akan menilai kebolehlaksanaan kadar gaji minimum, liputan, pengecualian serta tarikh kuatkuasa mengikut sektor, jenis pekerjaan dan wilayah,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN