PARLIMEN: Ancaman pengintipan asing makin serius

PARLIMEN: Ancaman pengintipan asing makin serius

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan pengintipan oleh elemen asing yang menyasarkan Malaysia diklasifikasikan sebagai ancaman keselamatan serius kerana melibatkan usaha mencuri maklumat sensitif bagi tujuan politik, ketenteraan dan ekonomi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, modus operandi pihak terlibat sangat tersusun termasuk mengenal pasti sasaran, mengumpul data, membuat profiling dan seterusnya merekrut orang dalam dengan menjanjikan habuan, ugutan atau menyemai ideologi tertentu.

“Ada juga ejen asing yang menyamar sebagai pelancong untuk menjalankan kegiatan pengintipan. Selain itu, mereka turut menggunakan kaedah pengintipan siber dengan menceroboh sistem maklumat, menyusupkan perisian hasad atau perisian intip serta melakukan pencerobohan keselamatan.

“Maklumat yang dicuri sedikit demi sedikit akan dihantar kepada pihak tertentu menggunakan dark web atau sistem komunikasi dienkripsi. Bagi orang biasa, perkara ini sukar difahami kerana melibatkan pelbagai sistem pengekodan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai langkah pencegahan dan intervensi kerajaan bagi mengekang ancaman pengintipan yang mampu menjejaskan keselamatan negara.

Menurut Saifuddin, kerajaan melaksanakan tiga pendekatan utama iaitu pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan.

Daripada segi pencegahan, katanya, pihak keselamatan sentiasa memantau senarai syak atau senarai hitam dari semasa ke semasa selain meningkatkan kepakaran unit siber dalam kalangan agensi perisikan negara.

“Kerajaan turut memperkukuh kerjasama dengan agensi antarabangsa termasuk Interpol dan ASEANAPOL serta melaksanakan tapisan keselamatan lebih ketat terhadap warga asing yang bekerja di Malaysia,” jelasnya.

Bagi aspek penguatkuasaan pula, katanya, pelbagai undang-undang digunakan termasuk Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, SOSMA, Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram (AMLA), Akta Imigresen dan Akta Komunikasi.

“Sebagai contoh, kes seorang wanita tempatan, Nida Rahayu Zainal, 30-an, yang direkrut agensi perisikan Israel, Mossad untuk menculik dua lelaki Palestin, Omar al-Bebaisi dan Muhammad al-Hadad pada 28 September 2022.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan polis manakala wanita terbabit ditahan dan sedang dibicarakan. Kes ini membuktikan bagaimana modus operandi pengintipan dilaksanakan termasuk bagi tujuan politik.

“Hakikat seorang wanita tempatan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempunyai tiga anak boleh direkrut Mossad menunjukkan betapa seriusnya ancaman ini,” katanya.

Tambah beliau, langkah tegas kerajaan amat penting kerana isu keselamatan negara perlu ditangani secara serius oleh Kementerian Dalam Negeri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi perisikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN