SEREMBAN: Negeri Sembilan berada di kedudukan keenam negeri yang menjadi destinasi pelancong antarabangsa ke negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, kemasukan pelancong antarabangsa ke negeri ini menunjukkan peningkatan pada tahun lepas iaitu seramai 460,000 pengunjung berbanding 340,000 pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, statistik berkenaan adalah berdasarkan data penginapan dikeluarkan pihak Tourism Malaysia.
“Ini menjadikan Negeri Sembilan antara destinasi pelancongan mendapat perhatian di Malaysia. Pelancong utama terdiri daripada warga Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei dan India.
“Secara keseluruhan, jumlah kehadiran pelancong di negeri ini menunjukkan perkembangan positif dengan tarikan pelancongan merangkumi pelbagai segmen seperti ekopelancongan, warisan budaya dan gastronomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) mengenai bilangan pelancong asing di negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini.
Menurutnya, Port Dickson terus menjadi tumpuan pelancong antaranya menerusi tarikan Pusat Ikan Hiasan yang mencatatkan seramai 281,273 pengunjung termasuk 4,882 orang pelancong asing.-UTUSAN










