Cape Verde, cerita ‘burung bersayap’ kecil yang terbang tinggi

Cape Verde, cerita ‘burung bersayap’ kecil yang terbang tinggi

CAPE Verde negara yang tidak dikenali sehinggalah pasukan bola sepak negara itu mengharumkan negara mereka di pentas Piala Dunia 2026. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Piala Dunia 2026 sudah pun sampai ke penghujung, hanya menanti negara mana yang akan dinobatkan sebagai juara antara Argentina dan Sepanyol. Hal ini tidaklah menarik sangat dan hanya dibincangkan di pejabat atau kedai-kedai kopi selama beberapa hari termasuk beberapa cerita kontroversi seperti keputusan pengadil dan keputusan luar jangkaan.

Di sebalik membicarakan kejayaan juara Piala Dunia 2026 dan insiden-insiden kontroversi, peminat bola sepak turut akan menyentuh topik beberapa negara kecil yang disifatkan menonjol dalam kejohanan kali ini.

Menjadi negara sekecil Cape Verde dalam dunia bola sepak dan bertanding di peringkat tertinggi amat mencabar.

Cape Verde mencipta sejarah pada Piala Dunia FIFA 2026 apabila layak buat pertama kali ke kejohanan itu dan menjadi antara negara dengan populasi paling kecil yang pernah mara ke Piala Dunia.

Prestasinya amat mengagumkan kerana layak ke pusingan kalah mati (32 terbaik) dalam penampilan sulungnya pada Piala Dunia 2026.

Banyak juga insiden insiden kontroversi yang berlaku sepanjang kejohanan kali ini dan semua peminat bola sepak tahu mengenainya.

Selain penyingkiran beberapa negara gergasi bola sepak yang merupakan kejutan biasa dalam mana-mana kejohanan sukan, kejayaan negara kecil seperti Cape Verde yang layak dalam kejohanan kali ini merupakan kejutan yang patutnya membuka mata kepada semua pemegang taruh industri bola sepak tempatan termasuklah antaranya pemain, pentadbir, jurulatih, persatuan sukan bola sepak tempatan negeri dan pusat.

Semasa Cape Verde tersenarai dalam negara negara layak bertanding dalam Piala Dunia 2026, berapa ramai bertanya mana asalnya negara ini?, sehinggalah pasukan bola sepaknya yang bersaing dalam Kumpulan H menunjukkan belang dan taring.

Pasukan negara berkenaan dalam Kumpulan H bersama Sepanyol, Uruguay dan Arab Saudi dan keputusan peringkat kumpulan (Sepanyol 0–0 Cape Verde). Uruguay 2–2 Cape Verde dan Cape Verde 0–0 Arab Saudi, menjadikan pasukan bola sepaknya menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan H dan mara ke pusingan 32 terbaik seterusnya menjadi buah mulut peminat bola sepak.

Di pusingan 32 terbaik, Cape Verde bertemu juara bertahan Argentina. Pasukan tersebut memberikan tentangan sengit dan hanya tewas 3–2 selepas masa tambahan, sekali gus tersingkir daripada kejohanan.

Namun pencapaian tersebut mendapat pujian meluas kerana merupakan penampilan pertama Cape Verde di Piala Dunia, mara melepasi peringkat kumpulan tanpa kalah (tiga keputusan seri, dan lebih mengujakan, negara berkenaan hampir menyingkirkan juara bertahan Argentina dalam perlawanan yang dianggap antara aksi paling dramatik kejohanan.

Diharap kejayaan tersebut turut mencetuskan gelombang semangat baharu dalam pembangunan bola sepak tempatan, dengan ramai pemain muda menjadikan pencapaian pasukan Cape Verde sebagai inspirasi.

Cape Verde atau nama rasminya Republik Cabo Verde ialah sebuah negara kepulauan di Lautan Atlantik, di luar pantai barat benua Afrika dengan keluasan kira-kira 570 kilometer di barat negara Senegal.

Negara berkenaan terletak di kawasan Afrika Barat, walaupun negara ini terdiri daripada pulau-pulau dan bukannya tanah besar Afrika dan mempunyai 10 buah pulau utama dan beberapa pulau kecil dengan berkeluasan kira-kira 4,033 kilometer persegi. Dengan jumlah penduduknya kira-kira 600,000 orang, menjadikannya antara negara terkecil di Afrika dari segi populasi.

Cape Verde pernah menjadi tanah jajahan Portugal selama hampir lima abad sebelum memperoleh kemerdekaan pada 5 Julai 1975. Bagi negara sekecil itu dan tidak berapa dikenali, kejayaannya dalam bola sepak patut menjadi teladan.

Apakah tips atau rahsia kejayaannya. Pasukan ini juga khabarnya pernah menyertai Piala Negara-Negara Afrika.

Bermakna pencapaian negara berkenaan dalam kejohanan bola sepak dunia itu amat menakjubkan sebagai sebuah negara kecil.

Apakah resipi pencapaian negara berkenaan dalam bola sepak. Dua pemerhati sukan bola sepak tanah air senada dalam mengulas kenjayaan Cape Verde iaitu antaranya kerana ramai pemain negara berkenaan berkelana atau bermain di luar negara.

Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, pendekatan itu bergantung kepada bagaimana ia disepadukan dengan pembangunan pemain tempatan.

“Mereka mengenal pasti pemain yang lahir dan mendapat latihan di Eropah, khususnya menerusi kelab-kelab di Portugal dan Belanda,” ujarnya.

 

 

“Kita hendak hantar pemain ke Eropah, tetapi kualiti pemain kita belum sampai tahap diperlukan. Malah, untuk bermain di liga ASEAN pun tidak ramai berjaya, apatah lagi di liga lebih tinggi standardnya, ” kata beliau.

Selain Pekan, Rizal Hashim turut berpendapat pemain negara yang berkelana ke negara -negara Eropah bermain bola sepak antara sebab permainan mereka lebih baik.

“Kita (pemain bolasepak) di sini lebih selesa bermain dalam negara dan enggan mencuba di negara luar, “ ujarnya.

Kata Rizal lagi, penonjolan Cape Verde di pentas Piala Dunia membuktikan saiz negara dan jumlah penduduk bukanlah faktor penentu kejayaan mutlak.

Dengan populasi yang jauh lebih kecil berbanding Malaysia, Cape Verde berjaya membina pasukan yang kompetitif melalui perancangan jangka panjang, pembangunan bakat secara sistematik serta penggunaan rangkaian pemain diaspora yang beraksi di liga-liga luar negara.

Tanpa saingan liga profesional di negara itu, pemain mereka berkelana ke Amerika Syarikat, Portugal, Turkiye dan negara lain untuk mendapat pendedahan kompetitif secara profesional.

Sedangkan Malaysia kata Rizal ada liga semi-pro sejak 1989 dan liga profesional sejak 1994 dan terkini Liga Super yang dilihat kompetitif tetapi sebenarnya didominasi hanya satu pasukan yang dibarisi kebanyakan pemain asing.

Maka Rizal mengesyorkan supaya Malaysia mengirim pemain terbaik tempatan ke luar negara, biarkan mereka belajar survive hidup sebagai pemain profesional di negara luar.

“Bola sepak Malaysia boleh mengambil iktibar dengan memberi keutamaan kepada pembangunan pemain muda, meningkatkan daya saing liga domestik serta memastikan kesinambungan dasar teknikal tanpa terlalu bergantung kepada perubahan jangka pendek, “ ujarnya. Kejayaan Cape Verde itu membuktikan barisan pemain bintang dan jurulatih berkelas A tidak menjamin kejayaan dalam sukan. Ramai pasukan dalam kategori ini ‘bungkus’ awal seperti Jerman dan Belanda serta Brazil.

Pasukan kebangsaan Malaysia pernah menentang Cape Verde dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa tahun lalu, sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan AFC Asian Cup pada 29 Mei 2025 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan keputusan 1–1, manakala perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun 2025 dengan keputusan Malaysia 0–3 Cape Verde.

Pentadbir bola sepak perlu belajar daripada kejayaan Cape Verde yang tidak berapa dikenali dalam sukan bola sepak ini tetapi layak ke Piala Dunia. Kurangkan politicking dan carilah resipi terbaik supaya impian kita ke Piala Dunia tetap menyala.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN