Sekatan FIFA, KRW FC yakin selesai dalam masa terdekat

Sekatan FIFA, KRW FC yakin selesai dalam masa terdekat

MUHAMAD Zaki Harun pada sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Penaja KRW FC di Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) yakin mampu menyelesaikan isu sekatan perpindahan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berkait tunggakan gaji lima pemain import dan dua jurulatih dari Korea Selatan, dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, barisan peguam kelab telah menyipakan semua dokumen berkaitan untuk dimajukan kepada Fifa serta pihak-pihak berkaitan.

Menurutnya, beberapa siri perjumpaan dengan pihak terlibat turut diadakan termasuk dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

“FAM, MFL dan AFC sudah faham bahawa isu ini sebenarnya bukan berpunca daripada kelab ini. Mungkin kekeliruan nama kelab dan logo membuka ruang untuk pemain-pemain terlibat membuat tuntutan terhadap KRW FC dan kita terpaksa hadapi.

“Kita sudah memperjelaskan keadaan dan kini perlu hantar dokumen lengkap kepada Fifa untuk mendapatkan keputusan yang adil. Kita jangka akan dapat keputusan seminggu selepas penutup tirai Piala Dunia,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengenalan Penaja KRW FC, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau percaya pihak FAM, MFL serta AFC akan turut membantu dan keputusan Fifa mungkin akan berpihak kepada KRW FC.

Katanya, dalam masa yang sama, pihak kelab juga telah bersedia, malah telah memulakan proses tindakan undang-undang.

“Dari sudut perundangan, kita sudah mulakan tindakan undang-undang dan prosesnya sedang berjalan.

“Dengan semua langkah yang diambil ini, saya percaya isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan diharapkan sebelum pembuka tirai Liga Super,” ujarnya.

KRW FC kini berdepan tujuh sekatan perpindahan pemain membabitkan tunggakan gaji Dannis Buschening (Jerman), Mario Arques (Sepanyol), Kervens Belfort (Haiti), Nuha Marong Krubally (Oman), Ismahil Akinade (Nigeria), Kim Ming-yu (Korea Selatan/jurulatih) dan Choi Moon-sik (Korea Selatan/jurulatih).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN