PORT DICKSON: Berkempen dalam kumpulan kecil menjadi pilihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata, kempen sebegitu membolehkannya bertemu dan berinteraksi secara lebih dekat dengan pengundi.
Aminuddin berkata, pendekatan itu bukan perkara baharu, sebaliknya telah diamalkannya sejak kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Menurutnya, beliau lebih mengutamakan pertemuan secara bersemuka dengan pengundi berbanding mengadakan kempen berskala besar.
“Sejak 2008 saya berkempen macam inilah, kalau saya dapat duduk berbual dengan seorang atau dua orang pun sudah memadai kerana yang penting saya dapat bertemu mereka.
“Terpulang kepada masing-masing, ada yang suka berkempen secara besar-besaran. Bagi saya, memang inilah cara saya. Saya lebih selesa bergerak bersendirian ataupun bersama pasukan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bertemu pengundi DUN Linggi di Pekan Pasir Panjang, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, pendekatan itu sedikit mencabar di Linggi kerana kawasan berkenaan mempunyai banyak perkampungan yang memerlukan masa lebih lama untuk dikunjungi berbanding kawasan taman perumahan.
“Masa saya menang pada 2008, kawasan yang saya jelajah banyak taman perumahan. Saya boleh berjalan dari rumah ke rumah dengan lebih pantas.
“Di sini pula banyak kawasan kampung, jadi pergerakan agak perlahan dan itu sedikit kekangan. Namun saya tetap cuba yang terbaik untuk bertemu seramai mungkin pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sambutan pengundi setakat ini positif namun keputusan akhir tetap bergantung kepada hari pengundian
“Sambutan Alhamdulillah, mungkin mereka menyambut saya sebagai Ahli Parlimen. Nampak okay, tetapi saya tidak tahu sama ada sambutan itu akan diterjemahkan kepada undi atau tidak.
“Bagaimanapun, saya yakin mereka akan memberikan sokongan yang baik,” katanya.
Aminuddin berkata, tempoh berkempen yang singkat dimanfaatkannya untuk bertemu seramai mungkin pengundi tanpa mengira kaum.
“Kalau ada yang saya tidak sempat jumpa sepanjang kempen ini, saya mohon maaf. Saya merayu supaya mereka memberi sokongan kepada Pakatan Harapan.
“Bukan satu kaum sahaja yang saya perlu pujuk tetapi semua kaum kerana setiap undi amat penting,” katanya.
Mengulas sama ada kedudukannya sebagai Menteri Besar memberi kelebihan dalam kempen, Aminuddin berkata, perkara itu bukan satu kelebihan kerana kerajaan negeri kini hanya berfungsi sebagai kerajaan sementara.
“Menteri Besar pun sudah tinggal apa? Saya tidak boleh membuat apa-apa keputusan buat masa ini. Saya lalui kempen ini sebagai calon dan yang penting ialah mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










