PETALING JAYA: :Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih belum dapat memberikan kata putus berhubung rayuan Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) untuk menghantar skuad negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali , berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini dan akan mendapatkan maklumat terkini sebelum membuat sebarang kenyataan rasmi.
“Saya tak pasti, kita akan lihat dari semasa ke semasa,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkembangan terkini rayuan berkenaan.
Sebelum ini, MAHF memohon agar MOM mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak menghantar pasukan bola baling ke temasya dwitahunan itu, selepas sukan tersebut tidak tersenarai dalam senarai akhir kontinjen negara.
Presidennya, Datuk Pandak Ahmad berkata, beliau percaya skuad bola baling negara berpotensi untuk membawa pulang pingat sekiranya MOM memberi peluang kepada mereka.
Rayuan tersebut dibuat susulan keyakinan MAHF terhadap kemampuan skuad kebangsaan untuk bersaing di pentas Sukan SEA, selain memandang penyertaan itu sebagai peluang penting membangunkan semula sukan berkenaan di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa MOM mengesahkan Malaysia akan menyertai kesemua sukan yang dipertandingkan di Sukan SEA Thailand kecuali bola baling.-UTUSAN