MOM disaran mohon status tanah pegangan kekal

MOM disaran mohon status tanah pegangan kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dicadangkan berunding dengan kerajaan untuk menukar status tanah pajakan ibu pejabat baharu badan induk tersebut di Bukit Jalil kepada pegangan kekal.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, MOM tidak perlu terburu-buru untuk berpindah ke bangunan baharu yang masih dibina di atas tanah berstatus pajakan.

“Buat apa MOM nak bina ibu pejabat baharu di Bukit Jalil di atas tanah yang berstatus pajakan sedangkan tanah mereka ketika ini juga mempunyai status yang sama. Lebih baik MOM kekal di pejabat asal mereka ketika ini.

“MOM tak perlu terburu-buru keluar pindah sebab kawasan itu sangat bernilai sebenarnya. Bagi saya kawasan itu (Jalan Hang Jebat) sangat berharga walaupun tanah itu dikurniakan oleh kerajaan.

“Jika MOM tetap nak berpindah juga mereka sewajarnya minta tanah berstatus hak milik kekal daripada kerajaan dan bukannya dengan mengadakan perjanjian tukar tanah bagi membina ibu pejabat baharu mereka,” katanya.

Tempoh pajakan Wisma MOM di Jalan Hang Jebat berakhir pada 2077 selepas tanah tersebut diberikan oleh kerajaan pada 1978 ketika Tan Sri Hamzah Abu Samah memimpin badan induk tersebut .

Pekan berkata, urusniaga pertukaran tanah yang membabitkan MOM dengan sebuah syarikat pemaju bagi membina ibu pejabat baharu bernilai RM103 juta dilihat tidak adil.

“Tak seimbang sebab kenapa MOM dah jalankan urusniaga dengan pemaju untuk bina bangunan tetapi MOM masih kena bayar lagi untuk sewa pajakan pula itu. Bukannya tanah itu menjadi milik MOM.

“Saya nampak urus niaga yang agak meragukan dan mungkin orang boleh mempersoalkan. Saya harap perkara ini dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN