Dana Amanah Sukan Negara kurang kebergantungan kerajaan

Dana Amanah Sukan Negara kurang kebergantungan kerajaan

Mohamad Norza Zakaria bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menubuhkan Dana Amanah Sukan Negara sebagai langkah bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan daripada kerajaan dan menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan sukan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, bagi menarik sumbangan daripada sektor swasta melalui insentif seperti pemotongan cukai dengan dipantau satu badan bebas yang diwakili wakil MOM, pemain industri dan kerajaan bakal diwujudkan.

Katanya, satu kertas kerja akan dibuat oleh perunding yang dilantik bagi memperincikan butiran mengenai dana tersebut yang bakal ditadbir oleh golongan profesional, bebas politik sebelum dibawa kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Contohnya, satu peratus daripada keuntungan mereka (syarikat swasta), sumbangkan kepada dana ini dan kerajaan akan memberi pelepasan cukai sebanyak dua kali ganda. Ini insentif yang kami akan cadangkan kepada kerajaan sebab insentif itu perlu jelas dan syarikat swasta akan masuk. Jika ia tidak jelas, adalah mustahil untuk kami menarik mereka.

“Terutamanya, seperti anda tahu, persatuan sukan yang tidak boleh berdikari, sukar untuk melakukan pemasaran dan mencari dana sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-213 di sini semalam.

Norza turut berkata, dana tersebut bakal diwujudkan selewat-lewatnya hujung tahun ini atau pada suku pertama tahun hadapan.

Dalam perkembangan berasingan, Norza berkata, Jawatankuasa Pemandu Projek Rumah Olimpik ditubuhkan bagi memantau perkembangan pembinaan bangunan baharu MOM yang akan dibina di Bukit Jalil bernilai RM93 juta.

“Ahli-ahli gabungan sebulat suara pada hari ini (semalam) untuk meneruskan projek pembinaan tersebut dan jawatankuasa bebas ditubuhkan untuk memastikan bangunan itu setara dengan nilai RM93 juta yang akan dipengerusikan Datuk Mohd Nasir Ali (Setiausaha Agung MOM),” katanya.

Jawatankuasa Pemandu Projek Rumah Olimpik turut dibarisi oleh Monteiro Gerard Clair selaku timbalan pengerusi, tiga ahli daripada MOM iaitu Datuk Amarjit Singh Gill, Datuk Awalan Abdul Aziz dan Akhramsyah Sanusi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril (penasihat undang-undang) dan tiga wakil daripada pemaju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN