Azim persoal butiran perjanjian tukar tanah MOM

Azim persoal butiran perjanjian tukar tanah MOM

Abdul Azim Mohd Zabidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menzahirkan kebimbangannya berhubung perjanjian pertukaran tanah bernilai RM103 juta yang melibatkan pemindahan ibu pejabat badan induk itu ke Bukit Jalil.

Azim turut mempersoalkan rasional dan ketelusan perjanjian membabitkan MOM dan sebuah syarikat yang tidak melibatkan sebarang faedah tunai kepada badan induk sukan itu meskipun penilaian hartanah Wisma MOM di Jalan Hang Jebat bernilai RM132 juta.

“MOM perlu membayar RM10 juta kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sebagai premium untuk pajakan kecil bagi tempoh 30 tahun ke atas lokasi baharu.

“Perjanjian ini menimbulkan persoalan serius tentang perbelanjaan dan kemampanan kewangan jangka panjang MOM. Paling membingungkan ialah ketiadaan sebarang faedah tunai kepada MOM, walaupun Wisma MOM dinilai pada kadar RM132 juta oleh penilai hartanah bertauliah.

“Bagaimanapun, nilai pertukaran dilaporkan lebih rendah iaitu pada kadar RM93 juta berikutan rancangan pihak pembeli yang juga pemaju, untuk merobohkan bangunan sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberitahu bahawa badan induk itu bakal membina bangunan baharu di Bukit Jalil yang bernilai RM103 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

Azim merupakan Timbalan Presiden MOM bagi penggal 2018-2021 turut berkata, MOM bakal berdepan risiko tambahan sebaik sahaja pajakan 30 tahun yang dimeterai itu berakhir.

“MOM mungkin berdepan kemungkinan mengosongkan premis baharu, sekali gus menjejaskan operasi dan menambah beban kewangan MOM.

“Saya berasa teramat bimbang tentang ketiadaan transaksi tunai dalam perjanjian itu, terutama pada ketika MOM memerlukan pembiayaan yang besar untuk menyokong pelbagai program di bawah inisiatif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN