Misi besar badang negara di India

Misi besar badang negara di India

NAIB Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad angkat berat negara berdepan misi getir pada Kejohanan Kelayakan Komanwel di India bermula hujung minggu ini hingga 30 Ogos, pentas penting untuk memastikan slot ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Selain tiket ke Glasgow, kejohanan berprestij itu juga bakal menjadi ukuran sebenar kekuatan badang negara menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand.

Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim berkata, India bukan sekadar medan kelayakan tetapi penanda aras kemampuan atlet negara berdepan pesaing rantau ASEAN, lebih-lebih lagi selepas kategori baharu diperkenalkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

“Di India kita bawa misi besar kerana ia kelayakan merit ke Sukan Komanwel. Layak ke sana bukan mudah, jadi atlet perlu persediaan terbaik.

“Apa yang lebih penting, ia beri gambaran sebenar tahap kemampuan mereka dan juga kekuatan lawan menjelang Sukan SEA nanti,” katanya.

Tambah Amirul, meskipun prestasi atlet negara tidak dijangka merosot jauh, jurulatih tetap mahu anak buahnya mempamerkan angkatan terbaik, terutama dengan kategori baharu yang masih belum diketahui kekuatan pesaingnya.

“Semua atlet kita akan bertanding dalam kategori A untuk Sukan SEA nanti. Selepas Kejohanan Kelayakan Komanwel, kita akan nilai semula prestasi mereka sama ada capai sasaran atau tidak,” ujarnya.

Kontinjen negara kali ini dibarisi sembilan atlet terdiri dari enam lelaki dan tiga wanita untuk menggalas cabaran negara.

Kategori baharu lelaki yang ditetapkan IWF ialah 60 kilogram (kg), 65kg, 71kg, 79kg, 88kg, 98kg, 110kg dan 110kg ke atas, manakala kategori wanita ialah 53kg, 58kg, 63kg, 69kg, 77kg, 87kg dan 87kg ke atas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN