Melaka cadang wujudkan Perkampungan Orang Bersara

Melaka cadang wujudkan Perkampungan Orang Bersara

KALSOM Noordin mengetuai hadirin mengibar Jalur Gemilang pada Seminar Kependudukan Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 di UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Perkampungan Orang Bersara dalam menghadapi status Melaka menuju era penuaan penduduk menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, cadangan tersebut adalah sistem sokongan untuk warga emas seperti di New Zealand, China dan Jepun.

Menurutnya, perkampungan itu bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada golongan tersebut dan tidak hanya duduk diam atas alasan sudah berumur.

Beliau berkata, rata orang bersara di negeri ini lebih cenderung duduk di rumah dan terperap hingga menyebabkan mereka diserang pelbagai penyakit.

“Saya ada melihat sebuah perkampungan itu di China di mana mereka ada sahaja pekerjaan yang dilakukan, bila cukup masa sebuah van akan datang untuk menghantar mereka pulang.

“Saya lihat ini adalah pendekatan yang terbaik menghadapi status Melaka menjelang 2030. Saya akan menyiapkan kertas kerja berkaitan bagi mencari satu kawasan bagi mewujudkan perkampungan orang bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Melaka bertemakan sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Kalsom berkata, penduduk Melaka yang dianggarkan seramai 1.05 juta kini melalui peralihan demografi yang bakal membawa implikasi besar terhadap masa depan negeri.

Menurutnya, Melaka sedang menuju era penuaan penduduk berdasarkan penurunan bilangan kelahiran hidup daripada 14,568 kelahiran tahun 2014, turun kepada 13,583 pada 2023.

Beliau berkata, pada 2024 sebanyak 11.0 peratus atau seramai 111,000 penduduk negeri ini berumur lebih 60 tahun dan angka itu dijangka mencecah 15 peratus menjelang 2040.

“Ini bermakna dalam tempoh kurang dua dekad Melaka akan mencapai status negeri menua,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor utama kepada masalah itu kecenderungan berkahwin lewat disebabkan masalah kewangan, tiada calon sesuai, keutamaan membina kerjaya dan peningkatan kos sara hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×