Malaysia berhasrat anjur RCEP Oktober ini 

Malaysia berhasrat anjur RCEP Oktober ini 

ANWAR Ibrahim berucap pada Sesi Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia-Pasifik anjuran Forum Boao untuk Asia di Hotel Shangri-La di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berhasrat untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Oktober ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RCEP bermatlamat untuk menilai kemajuan, mempercepat pelaksanaan dan menunjukkan Asia masih boleh memimpin agenda keterbukaan, meskipun negara lain semakin bersifat tertutup.

“Ujian sebenar bagi saling kebergantungan akan muncul paling ketara dalam bidang teknologi. Kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan sedang mengubah dunia dengan kelajuan yang luar biasa,” katanya.  

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Sesi Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia-Pasifik anjuran Forum Boao untuk Asia di sebuah hoteldi sini, hari ini. 

Pada masa sama, Anwar berkata, rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN-China 3.0 akan dibentangkan kepada pemimpin serantau, Oktober ini.  

Jelasnya, perkembangan itu hasil penyelesaian rundingan ASEAN-China yang merangkumi ekonomi digital, pertumbuhan hijau, keterhubungan rantaian bekalan, piawaian teknikal dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan realiti baharu mengenai zaman kemakmuran hari ini tidak hanya dibentuk oleh perdagangan yang adil, tetapi juga oleh aliran data, platform digital dan peralihan tenaga mampan.

“Bagi ASEAN, FTA ini menunjukkan keterlibatan dengan China boleh berasaskan peraturan, inklusif dan berorientasikan masa depan.

“Dalam masa sama, kita tidak boleh mengabaikan struktur kerjasama yang lebih luas di rantau Asia-Pasifik. RCEP kekal sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, merangkumi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. 

“Namun, RCEP tidak seharusnya kekal sebagai teks undang-undang semata-mata. Ia mesti diperbaharui dengan semangat politik yang baharu,” katanya.  

Beliau turut menegaskan peranan ASEAN yang wajar dicontohi kerana dibina atas asas keterbukaan, inklusiviti dan serantau yang tidak eksklusif.  

“ASEAN kekal sebagai antara satu-satunya kumpulan dengan pihak-pihak yang bersaing boleh duduk semeja dalam dialog.

“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia bertekad untuk mempertahankan keterpusatan ASEAN bukan sekadar sebagai retorik, tetapi sebagai amalan. Ini memerlukan pendalaman struktur kerjasama serantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN