KUALA LUMPUR: Pekarangan pusat beli belah Sogo di sini malam ini bergema dengan laungan ‘Justice for Zara’.
Peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dilihat mula memenuhi lokasi seawal pukul 8 malam.
Turut kelihatan beberapa individu dalam kalangan aktivis masyarakat menyampaikan ucapan solidariti menuntut agar nasib pelajar berumur 13 tahun itu mendapat pembelaan sewajarnya.
Orang ramai turut dilihat memegang plakad tertera ‘Justice for Zara Qairina’ dan ‘Kami Tolak Buli’ sambil berteriak melaungkan slogan berkenaan.
Zara Qairina yang merupakan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah sekitar pukul 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada 17 Julai. – UTUSAN








