Ketepikan perbezaan demi Malaysia 

Ketepikan perbezaan demi Malaysia 

AHMAD Zahid Hamidi (dua dari kanan) menyempurnakan Program Kembara Merdeka Akar Umbi di Perhentian Bas Simpang Pertang, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Rakyat Malaysia perlu mengetepikan segala perbezaan politik, agama, bangsa dan budaya demi memastikan kemerdekaan yang diraih lebih enam dekad lalu terus berkekalan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru itu rakyat terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan etnik diminta menyatukan fikrah atas semangat jiwa yang merdeka.

“Untuk hari kemerdekaan ini, kita ketepikan warna-warna dan pegangan politik kita. Demi negara, kita satukan fitrah atau pemikiran kita. 

“Kita ketepikan perbedaan agama, perbedaan bangsa dan juga budaya. Ini negara kita. Di mana bumi dipijak, di situ langit kita junjung,” katanya kepada pemberita sempena Program Kembara Merdeka Akar Umbi yang disertai beliau di dua lokasi Jempol dan Jelebu di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, justeru itu pelbagai pendekatan boleh dilakukan untuk memanifestasi sambutan Hari Kebangsaan 2025 esok dan juga Hari Malaysia pada 16 September nanti.

“Bagi rakyat Malaysia, pelbagai pendekatan boleh kita lakukan untuk memanifestasikan Hari Malaysia, Hari Kemerdekaan kita. Besok, cukup 68 tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sempena program berkenaan sebanyak 270 konvoi merdeka diiringi oleh 25 kenderaan pengiring dan juga disertai oleh 400 konvoi pemuda di seluruh belia serta pemuda di seluruh Negeri Sembilan.

“Uniknya, ini adalah kembara antara pemimpin, antara wakil rakyat, antara pemimpin di peringkat akar umbi bersama dengan rakyat untuk orang Melayu, untuk orang Cina, untuk orang India dan juga masyarakat Orang Asli. 

“Ini adalah untuk menampakkan semangat kemerdekaan dan juga jati diri bagi seluruh masyarakat untuk menyambut kemerdekaan kali yang ke-68. 

“Kita tidak mempunyai sebarang perbedaan dan yang penting dalam diri kita ialah semangat untuk menyambut hari kemerdekaan ini harus ditanam dan dijiwai oleh setiap individu dan masyarakat di dalam negara kita. Apatah lagi Negeri Sembilan, Negeri Sembilan adalah negeri kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN