SEREMBAN: Pasangan suami isteri terpaksa ditidurkan manakala tiga anak mereka ditahan di wad hospital akibat terhidu bau asap dalam kebakaran rumah mereka di Taman Permai Impian di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, 70 peratus rumah pasangan berkenaan musnah termasuk sebuah Proton Saga.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.33 pagi.
“Sepasukan petugas dari BBP Seremban 2 dibantu BBP Seremban bergegas ke lokasi mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 126 meter persegi.
“Kebakaran memusnahkan 70 peratus rumah sebelum berjaya dikawal pada pukul 2.57 pagi. Kebakaran itu turut membabitkan sebuah kereta yang terbakar 50 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Ahmad Khomeini, siasatan mendapati terdapat lima mangsa terlibat dalam kejadian itu iaitu suami isteri dan tiga anak mereka.
“Dua mangsa iaitu suami dan isteri mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh pasukan keluaran operasi (PKO) dan diserahkan serta dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) oleh pihak perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd. Sopery berkata, ibu bapa kepada tiga anak itu kini terpaksa ditidurkan.
“Suami berusia 33 tahun dan isteri berumur 37 tahun itu kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana dipercayai terhidu bau asap dan terpaksa ditidurkan. Mereka tidak mengalami lecur.
“Tiga anak lelaki yang berusia tiga, tujuh dan 11 tahun juga dirawat di hospital sama serta dilaporkan dalam mereka stabil,” katanya. – UTUSAN










