GEORGE TOWN: Biarpun sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan kanser usus, seorang tukang jahit, Mahani Udit, 36, tetap cekal menyiapkan pelbagai fesyen dan rekaan baju untuk kanak-kanak sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Ibu kepada empat anak itu berkata, minat mendalam dalam bidang jahitan dan amanah daripada pelanggan menjadi kekuatan untuk dia terus menjahit, walaupun terpaksa bekerja dari rumah.
Mahani yang menjalani pembedahan pada Jun lalu mengakui, tahap kesihatannya ketika ini masih belum pulih sepenuhnya, namun dia enggan menjadikan kesakitan itu sebagai alasan untuk berhenti daripada menjahit.
Katanya, sejak awal tahun lalu, dia sudah mula merasai perubahan pada tahap kesihatannya, namun terpaksa menggagahkan diri menguruskan kedai kecilnya di Kompleks Bukit Jambul sehingga akhirnya terpaksa menutup operasi pada 17 Julai lalu kerana masalah kesihatan dan kewangan.
“Kini, rumah saya menjadi bengkel kecil dengan lebih 10,000 pasang baju kanak-kanak disiapkan secara berperingkat bersama bantuan tukang jahit yang bekerja dari rumah.
“Saya potong kain di rumah, kemudian upah tukang jahit luar untuk siapkan. Memang permintaan tinggi, terutamanya untuk koleksi merdeka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mahani berkata, pelanggan setia menjadi sumber kekuatan yang tidak ternilai baginya, malah ramai yang tetap menunggu dan hanya mahu membeli hasil rekaannya kerana kelainan jahitan serta kualiti yang ditawarkan.
“Saya beritahu pelanggan, tukang jahit lain pun boleh buat, tapi mereka tetap cari saya. Itu yang buat saya rasa dihargai,” katanya.
Mahani berkata, dia telah menyewa kedai baharu di Kompleks Bukit Jambul ketika ini dan sedang menunggu kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan sebelum kedai berkenaan dibuka dalam masa terdekat.
“Saya akan kembali menjahit di kedai baharu ini. Mungkin dalam bulan ini juga saya akan buka sepenuhnya kedai kerana ramai pelanggan setia menanti saya.
“Perjuangan melawan sakit bukan lah penghalang untuk saya terus berkarya, malah ia menjadi motivasi untuk saya lebih menghargai setiap peluang dan sokongan daripada pelanggan,” katanya. – UTUSAN










