MUAR: Pas bersedia menyumbang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sekiranya Barisan Nasional (BN) itu tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga tidak akan meminta jawatan Menteri Besar Johor mahupun Exco Kerajaan Negeri.
“Kalau ikutnya ada kelemahan, Pas boleh tampung kelemahan itu. Bergantung kepada kerusi yang kita menang.
Kalau dengan Pas boleh menang jumlah majoriti kerusi, Pas boleh tampung atau tidak cukup majoriti, Pas boleh tampung.
“Yang penting ialah kekuasaan politik Melayu-Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem seperti MIC dan MCA,” katanya.
“Yang penting dari hati ke hati. Kalau ada jaminan, tandatangan, bersumpah pun tetapi tidak ada hati ke hati, tidak ada makna. Kalau menang di Johor, UMNO yang menjadi menteri besar, ikut suka parti itu hendak lantik exco dari partinya pun” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional (PN) di Laman Muafakat, Simpang Jeram, Bakri di sini hari ini.
Abdul Hadi sementara itu berkata, Pas sanggup bekerjasama dengan UMNO bagi memastikan perjuangan Melayu-Islam terus dipertahankan, khususnya dalam usaha mendominasi kuasa politik orang Islam di Johor.
Beliau berkata, pendirian itu berasaskan pandangan bahawa orang Islam perlu mendominasi kuasa pemerintahan bagi memastikan pentadbiran dapat dilaksanakan berlandaskan Islam.
Menurutnya, Johor mempunyai hubungan rapat antara Melayu dan Islam sehingga identiti kedua-duanya sering dikaitkan dalam kehidupan masyarakat negeri itu sejak sekian lama.
“Faktor tersebut menjadi antara pertimbangan Pas untuk membuka ruang kerjasama dengan UMNO dalam memastikan kuasa politik orang Islam terus kekal dominan.
“Selain itu, sejarah juga membuktikan Pas dan UMNO pernah bekerjasama ketika memperjuangkan kemerdekaan negara serta mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.
“Pas dengan UMNO sama-sama berjuang masa mula-mula. Kita bersama untuk meletakkan Islam dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, perjuangan politik Pas berpaksikan ajaran Islam yang merangkumi aspek pentadbiran, ekonomi, politik serta keadilan kepada seluruh masyarakat.
Katanya, Islam tidak menghalang kerjasama dengan pihak lain yang tidak memusuhi agama, sebaliknya mengutamakan keadilan kepada semua.
“Sehubungan itu, Pas memilih pendekatan berbeza terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan tersebut mempunyai parti yang tidak selari dengan pendirian perjuangan Pas.
“Kita tidak memilih PH kerana dalam gabungan itu terdapat parti yang pendekatannya tidak selari dengan perjuangan Pas. Kita mahu kerjasama yang mempertahankan kedudukan Islam dan kepentingan umat Islam dalam politik,” katanya.-UTUSAN.










