KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh mengakui masih dibayangi trauma kecederaan lama sehingga menjejaskan keyakinan dan corak permainannya ketika beraksi di mana-mana kejohanan.
Situasi itu jelas berlaku sewaktu dia tumbang kepada wakil Indonesia, Alwi Farhan di pentas final Terbuka Macau, sekali gus terpaksa berpuas hati sekadar bergelar naib juara.
Menurut Justin, aksi di perlawanan tersebut terbatas selepas mendapati permukaan gelanggang licin akibat titisan air, sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya kecederaan lama kembali menghantuinya.
“Memang gelanggang hari itu basah, tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan kerana lawan juga berdepan keadaan sama. Cuma, saya akui rasa fobia itu muncul semula ketika bermain.
“Saya beritahu jurulatih yang saya tidak dapat bergerak bebas di dalam gelanggang dan terpaksa menerima keadaan tersebut. Mungkin saya perlu membuat persediaan lebih rapi untuk menampilkan aksi lebih meyakinkan pada masa akan datang,” kata Justin.
Untuk rekod, pada April 2023, bekas juara remaja Asia itu berdepan detik hitam apabila tendon achilles kaki kirinya putus, memaksa dia berehat hampir lapan bulan dan hampir menoktahkan kariernya.
Justeru, Justin tidak menafikan kecederaan itu berpotensi berulang sekiranya pengurusan serta penjagaan rapi tidak diberi perhatian, malah kini dia giat mencari penyelesaian bagi mengatasi rasa trauma tersebut.
“Memang ada risiko ia berulang, tetapi jika dijaga dengan baik dan teruskan fisioterapi, mungkin tiada masalah. Sebenarnya ia bermula daripada diri sendiri, mungkin saya perlu beri tumpuan dari sudut psikologi,” ujarnya. – UTUSAN