JKR diarah nilai reka bentuk bangunan kawasan risiko gempa bumi

JKR diarah nilai reka bentuk bangunan kawasan risiko gempa bumi

AHMAD Maslan memasang Jalur Gemilang di kenderaan di Pekan Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan menilai semula reka bentuk bangunan terutama di kawasan berisiko dengan mengambil kira penggunaan bahan binaan mampu menyerap gegaran gempa bumi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu amat penting setelah mengambil kira beberapa siri gempa bumi yang berlaku di Segamat sejak minggu lalu.

“Selama ini, Malaysia merasai kesan gegaran gempa bumi dari negara jiran. Tetapi kali ini gegaran gempa bumi berlaku di dalam negara terutama Segamat.

“Maka kita perlu bersedia dengan piawaian reka bentuk bangunan tahan gempa. Selain itu, kita  juga boleh mendapatkan pandangan pakar luar bagi memastikan standard pembinaan lebih kukuh dan selamat pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai di Pekan Kayu Ara Pasong di sini hari ini. 

Ahmad berkata, lima bangunan kerajaan telah mengalami keretakan kecil ekoran kejadian gempa bumi yang terjadi di Segamat sejak minggu lalu.

Katanya, antara premis kerajaan terkesan adalah Kolej Komuniti Segamat 1 dan 2, Kuarters Polis Gemereh dan Hospital Segamat yang masing-masing mengalami keretakan kecil pada dinding selepas penilaian awal Jurutera Daerah Segamat.

“Sementara Pejabat Kadi daerah Segamat dilaporkan terdapat siling yang jatuh. Walaupun kerosakan kesemua premis tidak serius, JKR terus memantau keadaan. 

“Anggota JKR sudah ditempatkan bagi memastikan aspek keselamatan awam diberi keutamaan,” katanya.

Katanya, JKR kini berada dalam keadaan siap siaga 24 jam untuk melakukan sebarang pemeriksaan awal selepas kejadian gempa bumi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×