KUALA LUMPUR: Ketiadaan juara keseluruhan tahun lalu, Max Poole tidak melemahkan semangat Team Picnic PostNL yang meletakkan sandaran kepada pakar pecut Belanda, Fabio Jakobsen pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Dengan hanya mengekalkan seorang pelumba dari senarai musim lalu, iaitu Bjorn Koerdl, pasukan berstatus WorldTeam itu percaya pengalaman Jakobsen mampu mencipta impak terutama di laluan landai.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL,, Emir Abdul Jalal mengakui kehadiran Jakobsen memberi warna dalam saingan kali ini biarpun kehilangan Poole sedikit menjejaskan tarikan perlumbaan.
“Jakobsen adalah nama yang cukup besar kerana dia pernah memenangi satu peringkat di Tour de France dan lima peringkat di Vuelta a Espana termasuk memenangi jersi Raja Pecut Vuelta pada 2021.
“Dengan koleksi 46 kemenangan sepanjang kariernya setakat ini termasuk di TdF dan Vuelta, Picnic PostNL dilihat tampil dengan sasaran kemenangan peringkat pada penampilan kali kedua pasukan itu kali ini,” kata Emir.
Selain Jakobsen, pasukan itu turut mempertaruhkan rakan sepasukannya, Bram Welten yang berpengalaman dalam Grand Tour dan berpotensi membantu malah mencipta kemenangan peringkat.
Tumpuan juga pasti terarah kepada Juan Guillermo Martinez dari Colombia yang pernah bergelar Raja Bukit Giro della Valle d’Aosta, sekali gus diharap mengisi kekosongan ditinggalkan Poole.
LTdL akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober merentasi lapan peringkat sejauh 1,243.5 kilometer dengan perlumbaan bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Kuala Lumpur. – UTUSAN