16 warga emas maut kebakaran pusat jagaan di Sulawesi - Utusan Malaysia

16 warga emas maut kebakaran pusat jagaan di Sulawesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Seramai 16 warga emas terkorban dalam kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jagaan, Rumah Werdha Damai di Manado, Sulawesi Utara, Indonesia, lewat malam tadi.

Kebakaran berlaku pukul 8.24 malam waktu tempatan dan merebak dengan cepat ke seluruh bangunan yang menempatkan lebih 30 penghuni, menyebabkan beberapa mangsa terperangkap ketika api marak.

Ketua Jabatan Bomba Manado, Jimmy Rotinsulu berkata, operasi pemadaman melibatkan 25 anggota bomba dengan bantuan lima jentera pemadam dan berjaya mengawal api selepas lebih sejam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menemui 16 mayat di lokasi kejadian. Tiga mangsa lain mengalami kecederaan akibat lecur dan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Rakaman video yang tular di media tempatan menunjukkan api menjulang tinggi sehingga menerangi langit malam, manakala penduduk sekitar turut dilihat membantu usaha menyelamatkan seorang warga emas keluar dari bangunan yang terbakar.

Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Pegawai polis, Alamsyah P. Hasibuan berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan litar pintas elektrik atau unsur kecuaian sebagai punca kebakaran.

Kejadian tragis itu mencetuskan rasa simpati dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat, selain mengundang gesaan agar aspek keselamatan di rumah jagaan warga emas dipertingkatkan.

Beberapa pertubuhan kebajikan turut menyeru supaya audit keselamatan dilaksanakan ke atas semua fasiliti penjagaan warga emas di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Rumah Werdha Damai kini ditutup sementara bagi tujuan siasatan lanjut dan kerja-kerja pemulihan, manakala pihak berkuasa menguruskan proses pengecaman serta penyerahan jenazah kepada waris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini