Imigresen waspada kebangkitan TFC

Imigresen waspada kebangkitan TFC

Pemain Terengganu FC (TFC) Ubaidullah Shamsul (tengah) diasak oleh pemain pasukan PDRM FC pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 14 Ogos lalu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA bukan jaminan Imigresen FC (IFC) akan mendapat tiket mudah untuk mara ke suku akhir.

Ketua jurulatih IFC, Yusri Che Lah berkata, aksi timbal balik pada 13 September ini di tempat lawan amat penting dan beliau menuntut anak buahnya mempamerkan aksi terbaik untuk menjamin tempat.

“Apa yang penting ialah, kita perlu bersedia untuk mengharungi baki 90 minit perlawanan seterusnya di gelanggang lawan selain mencongak langkah yang mungkin akan digerakkan oleh Terengganu di sana nanti.

“Selain itu, kehadiran dua lagi pemain import diharap akan melengkapkan pasukan kita bermula minggu ini. Jadi, kita akan pastikan masa yang berbaki ini dapat memastikan masing-masing bersedia mendapatkan rentak untuk beraksi,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua pemain import yang berasal dari Brazil yang bakal memperkuatkan IFC musim ini ialah pemain tengah, Pedro Santos dan seorang tonggak pertahanan, Vinicius Milani.

Terdahulu, IFC yang juga pendatang baharu Liga Super melakukan kejutan dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan TFC 2-1 menerusi jaringan kemenangan pada masa kecederaan.

Gol TFC dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Yann Mabella pada minit ke-50 manakala gol IFC pula disumbangkan oleh Rafael Iserhard Holstein dan Joao Pedro masing-masing pada minit ke-54 dan 93 perlawanan.

Dalam pada itu, pengendali TFC, Badrul Afzan Razali menyifatkan kekalahan itu berlaku kerana anak-anak buahnya cepat hilang fokus terutamanya pada separuh masa kedua perlawanan.

“Kita hilang fokus dan hilang konsentrasi sehingga menyebabkan kita dibolosi dengan mudah.

“Bagaimanapun, saya berharap agar para pemain dapat memperbaiki corak permainan mereka terutamanya di bahagian serangan dan pertahanan pada perlawanan yang seterusnya nanti,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN