JAKARTA: Indonesia menarik balik penggantungan lesen operasi tempatan TikTok selepas platform media sosial itu menyerahkan data yang diminta kerajaan berkaitan protes baru-baru ini, menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital negara itu.
Indonesia merupakan pasaran kedua terbesar TikTok milik syarikat China, ByteDance dengan lebih 100 juta pengguna.
Kementerian berkenaan pada Jumaat lalu memaklumkan menggantung sementara lesen operasi aplikasi tersebut kerana gagal menyediakan data mencukupi berhubung aktiviti ciri siaran langsungnya semasa protes antikerajaan pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah kementerian, Alexander Sabar dalam satu kenyataan lewat Sabtu, TikTok sudah menyerahkan data yang diminta pada hari yang sama.
“Berdasarkan pematuhan terhadap kewajipan tersebut, Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital telah mengaktifkan semula status TikTok sebagai pengendali sistem elektronik berdaftar,” katanya.
Jurucakap TikTok enggan mengulas, namun syarikat perkongsian video itu sebelum ini menegaskan pihaknya menghormati undang-undang di setiap pasaran tempat ia beroperasi.
TikTok berdepan pelbagai cabaran di Indonesia malah, pernah menggantung sementara ciri siaran langsungnya pada Ogos lalu selepas tercetus protes ganas susulan kematian seorang lelaki yang dilanggar kenderaan polis.
Pada Isnin, agensi antipersaingan Indonesia mengenakan denda sebanyak AS$900,000 (RM3.7 juta) terhadap TikTok kerana gagal memaklumkan pengawal selia tepat pada masanya mengenai pengambilalihan platform e-dagang Tokopedia.
Ciri e-dagang TikTok turut digantung kerajaan pada 2023 selepas ia memperkenalkan langkah untuk membantu perniagaan kecil.
Syarikat itu kemudian membeli 75 peratus pegangan dalam Tokopedia, platform e-dagang terbesar Indonesia, sekali gus menggabungkan operasi beli-belah dalam talian kedua-dua pihak.-AFP










